KUALA LUMPUR 11 Dis. – Lembaga Tabung Haji akan memindahkan aset tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan menjelang 31 Disember ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti bertujuan menstabilkan imbangan tunai dan mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan.
Katanya, aset tidak menguntungkan akan dikenal pasti menerusi dua kriteria iaitu membabitkan aset dengan hasil kurang 2.5 peratus bagi hartanah manakala ekuiti, ia memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus.
Beliau memberi contoh aset tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) pada 2015 sebagai aset yang tidak menguntungkan.
“Bagi saham yang memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus, ia termasuk saham di dalam Felda Global Ventures (FGV). Nilai aset ini adalah berdasarkan kepada nilai buku.
“Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion,” katanya dalam sidang akhbar Penstrukturan dan Pemulihan Tabung Haji di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urus Tabung Haji, Datuk Zaiton Mohd. Hassan dan Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tabung Haji, Mustakim Mohamad.
Sukuk
Zukri berkata, proses itu bukan transaksi wang tunai dan tidak ada jaminan kerajaan ke atas sukuk yang dikeluarkan oleh SPV, sukuk juga tidak boleh diniagakan serta dilanggan sepenuhnya oleh Tabung Haji.
“Tabung Haji akan menyimpan sukuk itu sehingga SPV memilih untuk menebus dengan wang tunai apabila ia berjaya merekodkan keuntungan daripada aset yang tidak menguntungkan. Ia boleh ditebus pada bila-bila masa tanpa penalti.
“Sukuk berkenaan dengan tujuh tahun tempoh matang dan sifar kupon akan diterbitkan pada diskaun hasil lima peratus setiap tahun. Tiada tempoh matang dan tiada dividen bagi RCPS-i,” katanya.
Beliau memberitahu, semua pelaburan akan tertakluk kepada penilaian risiko yang ketat dan Tabung Haji juga melantik satu pasukan pengurusan risiko untuk melihat kesemua cadangan pelaburan berkenaan.
Dividen
Sama ada pendeposit Tabung Haji boleh mengharapkan dividen, Zukri berkata, kumpulan mesti memenuhi dua kriteria iaitu mempunyai lebih banyak aset daripada liabiliti dan menguntungkan.
“Pemindahan aset kepada SPV ini dalam masa sama bagi memastikan aset melebihi liabiliti Tabung Haji. Saya positif untuk prestasi Tabung Haji pada 2018,” katanya.
Zukri juga memberi jaminan bahawa kos menunaikan haji akan kekal pada RM9,980 bagi setiap jemaah haji pada 2019.
Dalam pada itu, Tabung Haji menegaskan tidak menyaksikan jumlah pengeluaran wang deposit yang mendadak dalam tempoh terdekat ini, malah ujar Zukri, beliau diberitahu setakat hari ini, sebanyak 170 orang membuka akaun baharu Tabung Haji.
Selain itu, beliau mengakui terdapat sedikit perbezaan pada nombor di dalam audit yang dijalankan oleh dua firma berlainan iaitu Jabatan Audit Negara dan PriceWaterhouseCoopers (PwC).
“Nombor sedikit berbeza, tetapi prinsipnya sama iaitu aset rendah daripada liabiliti Tabung Haji,” katanya.
Yayasan Tabung Haji
Menjawab kenyataan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menafikan salah guna duit RM22 juta Yayasan Tabung Haji (YTH), Zukri menjelaskan kes itu masih dalam siasatan polis dan beliau sedang menunggu keputusan.
“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas, biarlah polis menyiasat dan mengeluarkan kesimpulan. Kami berharap laporan itu boleh disiapkan secepat mungkin.
“Tabung Haji juga akan membuat pengumuman rasmi berikutan kenyataan Abdul Azeez yang mendakwa Tabung Haji tidak mengambil kira laporan audit Ernst & Young (EY) yang telah menilai semua aset syarikat Tabung Haji selain Jabatan Audit Negara,” katanya.











