Kami bukan juruaudit Tabung Haji, kata EY - Utusan Malaysia

Kami bukan juruaudit Tabung Haji, kata EY

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ernst & Young (EY) menjelaskan bahawa ia bukanlah juruaudit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan tidak mengeluarkan sebarang `laporan audit’ berhubung penyata kewangan Tabung Haji.

Dalam satu kenyataan, EY berkata, ia tidak menyemak penyata pendapatan Tabung Haji dan EY tidak terlibat dalam penilaian aset dan liabiliti Tabung Haji dan aset anak-anak syarikatnya.

EY membuat penjelasan itu berikutan pelbagai laporan media hari ini mengenai EY dan Tabung Haji.

Sebaliknya, seperti yang dinyatakan dalam laporan EY kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji, EY menyatakan bahawa ia telah ditugaskan Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk melaporkan sama ada kunci kira-kira pro forma pada 31 Disember 2015, 31 Disember 2016 dan 31 Disember 2017 telah disediakan dengan sempurna berdasarkan kriteria yang boleh digunakan.

“Lembaga Pengarah Tabung Haji menyediakan kunci kira-kira imbangan pro forma pada 31 Disember 2015, 31 Disember 2016 dan 31 Disember 2017 semata-mata untuk menggambarkan kesan pelaporan pelaburan Tabung Haji dalam ekuiti, sekuriti dan hartanah pada nilai aset yang dapat direalisasikan dan bukannya kos asal pada kunci kira-kira Tabung Haji.

EY tidak melakukan pengauditan maklumat kewangan yang digunakan untuk menyusun kunci kira-kira pro forma.

EY berkata, ia melaporkan bahawa pelarasan dibuat adalah semata-mata untuk maksud menggambarkan kesan laporan pelaburan Tabung Haji dalam ekuiti, sekuriti dan hartanah pada nilai aset yang boleh direalisasikan pada kunci kira-kira Tabung Haji.

“Laporan EY tidak boleh disandarkan untuk tujuan pengisytiharan dividen oleh Tabung Haji pada 4 Februari 2016, 3 Februari 2017 dan 7 Februari 2018 masing-masing untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016 dan 2017, kerana laporan EY untuk tahun-tahun yang berkaitan hanya dikeluarkan selepas tarikh pengisytiharan dividen.

EY mengeluarkan laporannya pada 30 September 2016, 12 Julai 2017 dan 23 Mei 2018 berhubung dengan lembaran imbangan pro forma masing-masing pada 31 Disember 2015, 2016 dan 2017,” jelasnya.

“EY juga tidak pernah menyatakan mengenai kesesuaian perisytiharan keuntungan yang boleh diagihkan sebagai dividen menurut Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

EY juga ingin menarik perhatian kepada Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995, yang menetapkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh Tabung Haji berhubung pengisytiharan keuntungan boleh diagih sebagai dividen. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×