IPOH 12 Dis. – Proses bedah siasat jenazah lima sekawan yang terkorban dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju semalam diharap dapat dilakukan secepat mungkin.
Jenazah kesemua mangsa tersebut dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari di sini.
Bapa Mohammad Nuraiman, 16, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata, keputusan untuk dikebumikan dalam satu liang itu dibuat setelah mendapat persetujuan daripada semua ahli keluarga yang terlibat.
“Mereka semua sudah seperti adik-beradik dan hubungan memang sangat rapat sejak kecil lagi. Apa sahaja aktiviti memang dilakukan bersama-sama.
“Kami semua telah bincang sejak semalam dan sepakat untuk kebumikan mereka dalam satu liang lahad,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Sementara itu, bapa kepada Ahmad Faizal, 16, Aminuddin Tan, 40, berkata, mereka sekeluarga berharap proses bedah siasat dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan urusan pengebumian dijalankan.
“Kami harap selesai cepat dan dapat kebumikan seboleh-bolehnya tengah hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











