KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini selepas enam sesi mencatatkan prestasi rendah, dalam keadaan sentimen pasaran global lebih baik susulan perkembangan baharu mengenai hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata peniaga.
Pada pukul 9.03 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat semula 4.65 mata kepada 1,657.28 daripada 1,652.63 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 4.46 mata lebih tinggi kepada 1,657.09.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 114 berbanding 40, manakala 99 kaunter tidak berubah, 1,652 kaunter tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 77.75 juta unit bernilai RM25.17 juta.
Menurut Public Investment Bank Bhd., keyakinan dalam tempoh yang singkat bahawa AS dan China mencatatkan kemajuan dalam menyelesaikan krisis perdagangan mereka telah lemah selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk menutup operasi kerajaan Persekutuan susulan pembiayaan pembinaan tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico.
Peniaga lain berkata, sentimen turut didorong oleh laporan bahawa China bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas produk auto AS kepada 15 peratus daripada 40 peratus.
Di peringkat tempatan, antara saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.34, Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM9.25, CIMB menokok tiga sen kepada RM5.54, dan Public Bank meningkat 24 sen kepada RM24.74.
Tenaga, bagaimanapun, kurang 10 sen kepada RM13.44.
Antara saham aktif, Vortex naik setengah sen kepada 9.5 sen, manakala Hubline, Bumi Armada dan PUC masing-masing tidak berubah pada empat sen, 16 sen dan 11.5 sen.
Indeks FBM Emas Syariah naik 21.97 mata kepada 11,421.51, FBM 70 bertambah 31.06 mata kepada 13,248.75 dan Indeks FBM Ace menokok 17.38 mata kepada 4,563.6.
Indeks FBM Emas naik 32.35 mata kepada 11,417.02 dan Indeks FBMT 100 meningkat 30.53 mata kepada 11,303.83.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan bertambah 34.91 mata kepada 6,667.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.51 mata kepada 167.94 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 58.22 mata kepada 17,196.79. – Bernama










