Food Bank manfaat golongan susah - Utusan Malaysia

Food Bank manfaat golongan susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ISU
lebihan makanan sehingga berlakunya pembaziran bukanlah baharu dalam kalangan rakyat Malaysia. Tahun lalu sahaja dilaporkan sebanyak 8,000 tan makanan dibazirkan rakyat.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diberi tanggungjawab melaksanakan program Food Bank Malaysia sebagai langkah mengatasi tabiat pembaziran ini.

Kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha kementerian, DATUK SERI JAMIL SALLEH menjelaskan mengenai program tersebut.
 

UTUSAN: Bagaimana program ini bermula?

JAMIL: Food Bank Malaysia merupakan cetusan idea Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menyahut slogan Inisiatif Peduli Rakyat. Program ini dilihat sebagai salah satu langkah yang boleh mendatangkan manfaat kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Program ini selari dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa di bawah United Nations Sustainable Development iaitu sasaran 12.3 untuk mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan keseluruhan yang dikeluarkan oleh industri peruncitan dan pengguna pada 2030.

JAMIL SALLEH
JAMIL SALLEH 

Apakah mekanisme program untuk mencapai sasaran ini?

Dalam program Food Bank Malaysia, pasar raya-pasar raya akan mengenal pasti lebihan makanan yang masih boleh diguna semula dan diasingkan untuk dikumpulkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mutiara Food Bank, Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation. Seterusnya lebihan makanan tersebut akan dikumpul, dibersihkan, disimpan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Berapa banyak pasar raya telah menyahut program ini?

Buat masa ini, terdapat 12 buah pasar raya terlibat seca­ra aktif dalam pelaksanaan sesi percubaan seperti Tesco (Stores) Malaysia Sdn. Bhd.; GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (Giant); Aeon Co. (M) Bhd.; Aeon Big (M) Sdn. Bhd.; Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd.; NSK Trade City Sdn. Bhd.; TF Value-Mart Sdn. Bhd.; My Hero Hypermarket Sdn. Bhd. dan Family Store Sdn. Bhd.

Berapakah jumlah penerima menerusi program ini?

Sehingga 15 November lalu, program ini berjaya menyelamatkan sebanyak 945 metrik tan lebihan makanan dan menyalurkannya kepada 26,200 ahli isi rumah.

Apakah bentuk kolaborasi utama yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dengan kementerian?

NGO memainkan pera­nan sebagai rakan strategik kepada kementerian. Dalam hal ini, Kechara Soup Kitchen, Food Aid Foundation dan juga Mutiara Food Bank telah dilantik sebagai rakan strategik.

Penglibatan NGO untuk menjayakan program ini dilihat penting kerana kami akan membantu menyalurkan sumbangan makanan yang diperoleh daripada pihak pasar raya, restoran dan hotel kepada golongan sasar.

Selain itu, NGO juga memainkan peranan dalam mengemaskini data-data golongan sasar bagi dikumpulkan dalam pangkalan data kementerian.

Selain itu, kami juga akan memberikan bantuan sebagai mentor dalam mendidik NGO-NGO baharu yang berminat untuk terlibat sama dalam program ini bagi mengendalikan bahan-bahan makanan yang disumbangkan itu.

Dalam hal ini, saya ingin mengambil kesempatan menjemput lebih banyak NGO untuk terlibat sama dalam menjayakan program ini. Mereka boleh berhubung terus dengan Kechara Soup Kitchen atau mana-mana rakan strategik lain yang telah dilantik bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Negeri mana yang menyertai program ini?

Sehingga hari ini, terdapat beberapa projek rintis yang dilaksanakan di negeri-negeri terpilih seperti Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Projek rintis yang dilakukan adalah untuk memastikan setiap NGO dan pasar raya yang bertapak di negeri-negeri tersebut dapat bersedia memastikan perjalanan program Food Bank Malaysia dapat dijalankan secara lancar di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Apakah kaedah atau cara untuk kementerian mengenal pasti golongan sasar dan pasar raya yang akan terlibat serta jenis makanan yang boleh disumbangkan?

Buat masa ini, selain mengumpulkan data yang diperoleh daripada sukarelawan, kementerian juga mendapatkan data asas daripada agensi kerajaan. Data ini diperoleh hasil inisiatif yang telah diambil melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mendapatkan le­bih banyak golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Namun, ia tidak terhad kepada kedua-dua agensi ini sahaja. Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), pusat-pusat zakat, wakil penduduk, pusat agama dan lain-lain juga boleh melibatkan diri secara langsung.

Pihak kementerian menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan lebih banyak maklumat yang disumbangkan kepada agensi-agensi terlibat bagi memperhalusi jumlah golongan yang boleh diberikan sumbangan melalui Food Bank Malaysia.

Apakah perkembangan terkini program ini dalam kalangan pasar raya?

Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. merupakan pasar raya pertama mengikat perjanjian dengan NGO bagi mengambil sumbangan makanan yang disalurkan. Menerusi Food Bank Malaysia yang telah ditubuhkan ini, jumlah pasar raya yang berminat dan ingin melibatkan diri untuk menyalurkan sumbangan makanan turut meningkat.

Antaranya Aeon Co. (M) Berhad; Aeon Big (M) Berhad; GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (Giant) dan terdapat juga pasar raya tempatan seperti Hero Market; Family Superstore dan NSK Trade City. Program ini juga terbuka kepada mana-mana pasar raya yang ingin menyertai program ini kerana setiap sumbangan disalurkan adalah bermakna untuk golongan memerlukan.

Apa jenis barangan yang selalu disumbangkan oleh pasar raya kepada program?

Buat masa ini, pihak pasar raya memfokuskan kepada tiga jenis barangan iaitu buah-buahan, sayur-sayuran dan roti. Namun kami tidak mengehadkan mana-mana pasar raya untuk memberikan apa juga bentuk sumbangan makanan kepada kami.

Apakah perancangan kementerian untuk memperluas program ini ke seluruh negara?

Satu majlis pelancaran akan di sempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 22 Disember ini di Pulau Pinang. Ia juga akan menandakan bermula secara rasmi pelaksanaan Food Bank Malaysia di seluruh negara. Majlis perasmian ini akan dianjurkan secara bersama di antara pihak kementerian dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×