SEJAK akhir-akhir ini, pelbagai kontroversi tercetus melibatkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) termasuk pendedahan akaun organisasi itu bagi 2017 yang mencatatkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM70.3 bilion, dengan jumlah liabiliti (hutang) sebanyak RM74.4 bilion.
Jumlah liabiliti yang lebih banyak berbanding aset menyebabkan akaun Tabung Haji pada tahun lalu mencatatkan defisit sebanyak RM4.1 bilion.
Sehubungan itu, dengan kedudukan kewangan sedemikian, pengisytiharan serta pembayaran hibah (bonus) pada 2017 dikatakan telah melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Ini berikutan pembayaran hibah itu tidak memenuhi dua syarat iaitu bonus hanya boleh dibayar jika aset tidak kurang daripada liabiliti serta terdapat keuntungan yang boleh diagihkan.
Selain itu, satu isu lain yang berbangkit melibatkan langkah pengurusan baharu Tabung Haji pada 30 November lalu membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan lama setelah melakukan siasatan dalaman sejak Julai lalu.
Laporan pertama berhubung Program Yayasan Tabung Haji pada 2017 apabila dana berjumlah RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.
Manakala satu lagi laporan dibuat kerana didakwa menyembunyikan maklumat penting dan salah nyata membabitkan penjualan saham Tabung Haji pada 2012.
Walaupun dilanda kontroversi, para pendeposit tidak harus bimbang kerana Tabung Haji kini diterajui bukan calang-calang orang. Mereka ialah bekas CEO BIMB Holdings Berhad (BIMB), Datuk Seri Zukri Samat dengan jawatan sama di organisasi itu sejak Julai lalu.
Beliau turut dibantu, bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Mohammed Nor Md. Yusof yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji baharu.
Zukri mempunyai rekod cukup cemerlang. Sewaktu krisis kewangan negara pada 1998, beliau adalah antara mereka yang menyinar di Danaharta. Ia ditubuhkan kerajaan untuk menguruskan bank-bank di Malaysia yang bermasalah berikutan soal banyak hutang lapuk tidak berbayar (NPL).
Selepas itu, pada 2006, beliau telah diminta membantu memulihkan BIMB yang ketika itu berada dalam keadaan kucar-kacir dan mengumumkan kerugian sebanyak RM1.3 bilion atau secara teknikalnya, BIMB sudah pun muflis.
Pelan komprehensif
Dalam tempoh 11 tahun menerajui BIMB, Zukri telah menggunakan segala pengalamannya sehingga berjaya memulihkan keadaan dengan menjadikan perkhidmatan bank itu lebih efisien, cekap serta pantas.
Ketika diterajui beliau, kedudukan BIMB boleh dikatakan setara dengan bank-bank konvensional lain di Malaysia.
Pengalaman Zukri memulihkan BIMB memang cukup berguna jika dilihat latar belakang pendeposit Tabung Haji adalah umat Islam sama seperti bank berkenaan.
Keyakinan terhadap kewibawaan Zukri lebih terserlah setelah beliau memberi respons pantas apabila kontroversi itu timbul dengan menyatakan: “Perniagaan berjalan seperti biasa dan pendeposit harus meletakkan kepercayaan bahawa Tabung Haji akan memastikan simpanan mereka selamat.”
Kelegaan pendeposit semakin bertambah apabila Tabung Haji memberi jaminan bahawa kos menunaikan haji kekal seperti sebelum ini iaitu RM9,980 walaupun terdapat isu kewangan membabitkan badan tersebut.
Tabung Haji juga yakin dividen dan hibah secara sah dapat diberikan kepada 9.2 juta pendeposit pada tahun ini selepas program pemulihan dan penstrukturan dijalankan sejak Julai lalu, dengan kadar dividen bergantung kepada keuntungan.
Selain faktor Zukri, pendeposit seharusnya dapat bernafas lega apabila Kabinet bersetuju dengan cadangan pengurusan baharu Tabung Haji untuk melaksanakan pelan pemulihan komprehensif.
Selain itu, pengurusan terbabit telah mencadangkan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV), khusus bagi memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang tidak menunjukkan prestasi serta akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bermula 1 Januari 2019.
Mengulas isu berkenaan, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, langkah meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia BNM serta penubuhan SPV dapat membantu organisasi itu menjadi lebih efisien.
Menurut beliau, Tabung Haji sepatutnya diletakkan di bawah pemantauan kerajaan sejak awal penubuhannya bagi memastikan pengurusan organisasi itu selari dengan tadbir urus terbaik sebuah institusi yang mengambil deposit daripada ahlinya.
“Meletakkan Tabung Haji dalam pemantauan kerajaan sepatutnya dilakukan dari dahulu lagi kerana organisasi ini menyimpan wang pendeposit dan tadbir urus sepatutnya tertakluk kepada Akta Bank sebagaimana bank-bank lain. Jika ada kecacatan tadbir urus maka mudah mereka membuat teguran dan penambahbaikan,” katanya.
Azmi menjelaskan, penubuhan SPV adalah untuk memisahkan liabiliti daripada ditanggung oleh Tabung Haji dan dengan cara ini, organisasi itu boleh menumpukan perhatian terhadap pengurusan jemaah haji yang lebih efisien.
Beliau berpendapat, pelan pemulihan akan menjejaskan kadar bonus yang lazimnya agak tinggi kerana mengikut syarat ditetapkan Tabung Haji, bonus tidak boleh diberi jika jumlah liabiliti mengatasi aset.
Jadi, Azmi menjangkakan selepas pelan pemulihan, bonus akan berkurangan dan dividen pula akan sepadan dengan keuntungan pelaburan.











