KUALA LUMPUR: Beberapa nama besar yang tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini didakwa berpunca daripada ‘cai’ yang wujud dalam parti itu. Antara nama besar berkenaan ialah Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Fahmi Fadzil; Pengarah Pilihan Raya merangkap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani yang juga ahli Parlimen Kapar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fuziah mendakwa, trend pengundian dilihat memihak kepada calon-calon yang pro kepada Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.
“Kalau dilihat dari segi undian, ramai yang pilih ikut cai. Yang menang itu tiga daripadanya adalah daripada senarai yang diangkat Rafizi kerana beliau adalah Timbalan Presiden yang dipilih. Oleh kerana Rafizi menang, jadi diangkat semua cai dia, maka trend mereka mengundi adalah mengikut ‘cai’. Itu yang berlaku.
“Namun saya tidak kecewa sangat kerana undi yang saya terima itu adalah solid daripada akar umbi yang kenal saya. Walaupun tidak berkempen, tidak diangkat mana-mana calon, saya masih banyak undi yang besar. Itu satu bukti kekuatan, kalau menang itu sudah pasti tidak sama dengan kita kalah.
“Jadi pada saya kekalahan itu adalah kekalahan yang bermaruah, ia menunjukkan saya kuat. Tetapi oleh kerana trend mengundi memihak kepada calon Timbalan Presiden, maka yang ditarik juga adalah calon-calon dia (Rafizi),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, PKR mengeluarkan keputusan rasmi untuk pemilihan pucuk pimpinan parti yang mana Naib Presiden yang dipilih (mengikut kronologi) adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menyifatkan ia sebagai budaya tidak sihat dalam parti, Fuziah berkata, masa akan menentukan sama ada calon yang dipilih itu boleh melaksanakan tugas dengan sebaiknya atau tidak.
“Itu trend yang bukan sihat sebab akhirnya seorang pemimpin yang boleh perform, akan tiba masanya akar umbi menilai balik. Apa yang negatifnya bila kita berpaut pada seorang calon, bila dipilih mengikut ‘cai’, kemungkinan untuk mengiyakan semua perkara itu ada. Kalau saya, yang baik saya akan kata ‘yes’, yang tidak baik saya akan kata ‘no’,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi yang dihubungi berkata, keputusan yang meletakkan dirinya dalam tujuh tangga teratas masih memberi petanda baik buat dirinya, sekali gus menyifatkan menang atau kalah tidak seharusnya menjadi ukuran dalam sesebuah perjuangan.
“Saya lihat itu adalah keputusan akar umbi. Isu kalah atau menang tidak menjadi masalah, lagipun Majlis Pimpinan Pusat sudah membuat keputusan dan kita terima.
“Saya masih berkhidmat sebagai Pengarah Komunikasi sehingga 16 Julai ini, sama ada diberikan apa-apa tugas terpulang kepada pucuk pimpinan. Sementara masa yang ada, saya buat kerja seperti biasa. Saya teruskan tugas di Lembah Pantai sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah juga meluahkan beliau akur dengan apa yang diputuskan parti itu.
“Saya sami’na wa ata’na (kami dengar dan kami taat) dengan apa yang digarispandukan. Tidak ada gundah gulana, apa yang ada kita terima seadanya, reda apa yang disuratkan dalam perjuangan,” katanya.- UTUSAN











