KUALA LUMPUR: UMNO perlu bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.
Ia berhubung pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti itu melanjutkan pemilihan enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian UMNO Bangi, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain berkata, meskipun parti itu membuat ketetapan untuk mengadakan pemilihan selepas PRU15 kali ini namun RoS setakat ini belum memberi kata putus atas permohonan UMNO.
“Kita ikut keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan keputusan EGM yang diluluskan sebulat suara. Kalau pertikai keputusan, masalahlah kita. Jadi bagi saya, kita ikut keputusan yang sudah dibuat.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga kini RoS belum memberi kata putus sama ada membenarkan atau tidak pemilihan parti diadakan selepas PRU.
“Kita berharap RoS membuat keputusan segera supaya tidak menunggu lama sehingga memprejudiskan kedudukan UMNO. Tempoh 18 bulan adalah sebelum Disember, jadi jangan letakkan UMNO dalam keadaan tersepit.
“Kalau RoS tolak, mereka perlu beri justifikasi yang kukuh kenapa tolak. UMNO perlu ambil tindakan drastik sama ada buat rayuan atau buat pemilihan sebelum Disember. Dalam hal ini, UMNO perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Beruas Datuk Dr. Azhar Ahmad berkata, UMNO adalah sebuah parti yang berstruktur, maka sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita sentiasa bersedia, kalau kata arahan parti, esok, lusa, tulat, kita sentiasa bersedia tidak kira menghadapi pemilihan parti atau PRU dulu, tidak ada masalah.
“Kalau pemilihan dulu, mesti ada tempoh sekian-sekian yang akan diberitahu,diikuti dengan bahagian dan sebagainya.
“Cuma saya sebagai ahli parti, sentiasa akur dengan keputusan yang ditetapkan parti,” katanya.
Bagi Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos pula, RoS tidak mampunyai sebab mengapa tidak meluluskan pindaan parti kerana ia adalah kehendak ahli parti, bukannya kemahuan individu.
“Bagi saya, RoS adalah badan yang memantau termasuk parti politik dan perlu melaksanakan keputusan yang dibuat oleh ahli daripada parti, itu kehendak parti.
“RoS tidak ada sebab untuk tidak memenuhi kehendak parti kerana ia ditubuhkan sebagai penguat kuasa yang memantau pertubuhan parti politik mengikut kehendak parti yang tertulis dalam Perlembagaan parti itu sendiri.
Terdahulu, RoS dalam satu kenyataan ringkas berkata, keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai ini.- UTUSAN










