
MENCEBURI bidang perniagaan makanan tidak dirancang oleh Noor Fadzlina Zakeri, 40, yang merupakan pemegang Ijazah Kewangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.
Dia yang pernah memegang jawatan penolong kewangan terpaksa melepas jawatan tersebut pada 2011 apabila anak kedua yang ketika itu berusia dua tahun mengidap Pneumonia dan selalu jatuh sakit.
Ibu kepada tiga orang anak yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Perlis bersama suaminya, mula berjinak-jinak dalam perniagaan makanan dengan mengambil tempahan daripada kenalan yang diusahakan di rumah.
Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 2020, perniagaan suaminya tidak dapat dijalankan menyebabkan mereka perlu berfikiran kreatif untuk menjana sumber pendapatan.
Noor Fadzlina yang sebelum ini pernah mengikuti kursus membuat roti mula membuat produk itu dan suaminya pula menjadi ‘runner’ atau penghantar pesanan roti tersebut kepada pelanggan.
“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sangat memberangsangkan kerana pada itu orang ramai hanya duduk di rumah sahaja dan mereka banyak membuat tempahan roti daripada kami.
“Dengan modal permulaan sebanyak RM5,000 untuk membeli barang mentah dan peralatan, kami pun mula beroperasi dengan sepenuh masa.
“Pada masa itu, ada tiga orang anak muda yang ada daripada saudara daripada suami turut bersama dengan kami bagi kerja-kerja penghantaran dan memasarkan roti yang saya buat. Mereka jugalah yang memberi nama Lotti bagi jenama roti ini,” katanya ketika ditemui di bengkel memproses rotinya di Bintong, Kangar, baru-baru ini.

Noor Fadzlina berkata, setelah lebih dua tahun, Lotti kini sudah mempunyai kafe sendiri di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar yang menjual bukan sahaja roti, malah pelbagai makanan lain seperti kek, pasta, mi kari dan juga biskut.
Dia memberitahu, kedai rotinya mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 50 kilogram tepung sehari yang bersamaan kira-kira 1,000 biji ban roti.
“Selain daripada menjual roti di kafe, kami juga membekalkan roti kepada beberapa penjual burger, kafe di universiti awam dan juga runner yang membawa lori serta menjualnya di kawasan perumahan dan kampung.
“Kami juga ada mengambil tempahan katering untuk makanan yang menjadikan jualan mencapai kira-kira RM35,000 hingga RM40,000 sebulan,” ujarnya.

Katanya, dia yang kini mempunyai 14 orang pekerja juga dalam proses untuk mengeluarkan produk retort bagi makanan seperti rendang ayam, rendang daging, kurma kambing dan nasi lemak.
“Teknologi retort ini akan memudahkan kami jika mahu membuka cawangan baharu supaya makanan yang disediakan mempunyai rasa dan kualiti yang sama di setiap lokasi,” jelasnya. – UTUSAN










