UMNO Melaka tidak akan khianat mandat - Utusan Malaysia

UMNO Melaka tidak akan khianat mandat

Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO Melaka tidak akan mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan melakukan tindakan-tindakan yang boleh memecahbelahkan kekukuhan parti dan kerajaan negeri.

Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memberi jaminan tindakan undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak akan berlaku seperti yang dilaporkan sebuah portal.

“Saya menafikan laporan sebuah portal yang dikatakan mendakwa, politik Melaka kembali bergolak. Artikel tersebut berniat jahat serta bertujuan mengganggu-gugat kestabilan politik di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pastinya rakyat Melaka yang telah memilih, mahu manifesto ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ diteruskan. Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, saya tidak akan sekali-kali mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat,’’ tegasnya dalam kenyataan semalam.

Sebuah portal melaporkan, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mungkin berdepan undi tidak percaya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 25 Julai ini dengan Ab. Rauf didakwa berhasrat mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong mengakui kepada Utusan Malaysia, terdapat bayangan bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Sulaiman pada sidang berkenaan.

Dalam pada itu, Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara menambah, tuduhan seperti itu bukanlah pertama kali dilemparkan terhadap kepemimpinan negeri.

Jelasnya, ia adalah mainan pembangkang yang cemburu dengan kejayaan dicapai setelah BN menerajui Melaka.

“Suka saya menegaskan bahawa barisan pemimpin kerajaan negeri Melaka tidak terkesan dengan sebarang tohmahan yang bersifat spekulasi serta tidak berasas ini.

“Sebaliknya, barisan kepemimpinan akan terus berusaha keras memastikan Melaka terus stabil memberi kemakmuran kepada rakyatnya,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×