Suami culas solat, Sofi pilih untuk sabar, berdoa - Utusan Malaysia

Suami culas solat, Sofi pilih untuk sabar, berdoa

Setiap kali diajak solat bersama, ada sahaja alasan diberi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suami merupakan ketua keluarga. Jika ketua goyang imannya, bagaimana pula dengan pengikutnya iaitu isteri dan anak-anak.

Minggu ini saya kongsikan kisah Sofi (bukan nama sebenar), seorang isteri yang diuji dengan suami tidak solat.

Namun begitu, ibu kepada lima anak itu menasihatkan jika ada di antara isteri di luar sana yang tidak memiliki suami dambaan, jangan cepat mengalah.

Berdasarkan pengalamannya melayari bahtera rumah tangga hampir 25 tahun dengan suami, Sofi sentiasa berdoa dan tidak pernah berputus asa mengajak suami solat bersama.

Memulakan cerita, Sofi berkenalan dengan suami, Rahmat (bukan nama sebenar)di sebuah majlis keraian di kampungnya yang terletak di Grik, Perak.

Setelah hampir tiga bulan mengenali hati budi masing-masing, mereka sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Melayari keindahan bahtera rumah tangga hanya seketika cuma, apabila Sofi mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada suaminya.

Setiap kali diajak solat bersama, ada sahaja alasan diberi.

Sehari, seminggu, sebulan sehinggalah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, Sofi tidak pernah melihat suaminya mendirikan solat lima waktu.

Jauh sekali solat Jumaat mahupun solat hari raya.

Rahmat bukan sahaja tidak solat, bahkan culas menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Suami terus leka dengan hal-hal dunia, sibuk dengan pekerjaan tetapnya sebagai pengurus di sebuah syarikat komunikasi dan perniagaan yang diusahakan.

Pun begitu, Sofi cuba untuk tetap sabar dan sentiasa berdoa dalam setiap sujudnya.

Kesan daripada suami tidak solat turut dirasai Sofi dan anak-anak.

Rumah tangga tidak bahagia, duit tidak pernah mencukupi, anak-anak tidak mendengar kata dan sebagainya.

Sepanjang tempoh berumahtangga, Sofi tidak merasai nikmat perkahwinan sebenar.

Sikap Rahmat yang selalu ingin menang sendiri dan enggan mendengar nasihat orang lain terutama Sofi memburukkan lagi keadaan.

Sofi sering menjadi mangsa kemarahan Rahmat. Setiap kali berselisih faham, Rahmat sering melemparkan kata-kata kesat kepada Sofi.

Ketika usia perkahwinan memasuki 10 tahun, Sofi diuji apabila suaminya berkahwin lagi.

Ketika itu hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya hati Sofi.

Sikap Rahmat mula berubah dan tidak berlaku adil.

Dia sering melebihkan isteri keduanya terutama giliran bermalam di rumah.

Setiap kali Sofi memikirkan keadaan itu, adakalanya timbul perasaan benci dan mahu bercerai.

Bagaimanapun, Sofi memilih untuk tetap bersabar dan berharap ada jalan penyelesaian.

Sofi hanya berharap dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik serta suami sedar akan tanggungjawabnya.

Sofi tiada masalah dengan madu, cuma berasa terkilan dengan sikap suami yang tidak berlaku adil.

Apa yang merisaukan Sofi selama ini turut dikongsi madunya, Ain (bukan nama sebenar).

Anak-anak sudah masak dengan perangai bapa mereka yang sering menjadikan Sofi sebagai bahan melepaskan kemarahan.

Disebabkan suami jarang berada di rumah, anak-anak membesar dengan kurang kasih sayang dan bimbingan seorang bapa.

Sofi tidak menyalahkan anak-anaknya 100 peratus kerana sedar selama ini Rahmat tidak menunaikan tanggungjawab dan menunjukkan teladan yang baik sebagai bapa sepenuhnya.

Titik permulaan suami untuk berubah selepas bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 pada Disember 2021.

Sejak itu Rahmat semakin banyak belajar mendalami ilmu agama.

Ketika menerima perkhabaran bapanya meninggal dunia, mereka sekeluarga sedang menjalani kuarantin di rumah.

Rahmat masih bersedih selepas dia sekeluarga tidak dibenarkan menziarahi dan menguruskan jenazah atas faktor keselamatan.

Sebagai anak sulung, hubungan Rahmat dan arwah bapanya cukup rapat. Disebabkan itu juga rasa terkilan tidak dapat menatap wajah bapa buat kali terakhir terus menganggu hidupnya.

Di saat Rahmat mula rebah, Sofi dan Ain sepakat memberi kata-kata semangat untuknya kembali kepada Allah.

Peluang tersebut diambil keduanya sama-sama membawa suami mereka ke jalan yang lurus.

Mengakhiri perbualan, Sofi sempat menitip pesanan, jika ditakdirkan seseorang itu mendapat seorang suami yang tidak solat, jangan cepat putus asa.

Sebaliknya tambahlah rasa sayang terhadap dirinya dan cuba tunjukkan teladan yang baik.

Sofi sentiasa cuba berfikiran positif dan bersangka baik dengan Allah tentang jodoh yang ditetapkan.

Setiap yang ditentukan Allah itu bersebab dan pastinya juga mempunyai hikmah.

Dalam perkongsian itu juga, Sofi juga meminta mendoakan suaminya terus istiqomah dan diberi hidayah untuk terus berubah.

Sofi menyifatkan perkongsian kisahnya mempunyai hikmah untuk pengajaran bersama.

Sebagai isteri dia telah cuba melakukan yang terbaik.

Dia enggan terlalu cepat menghukum kepada sesiapa sahaja yang tidak solat termasuk suaminya.

Hidayah itu milik Allah. Siapa tahu di hujung hayat suaminya yang sebelum ini tidak solat jauh lebih baik daripadanya.

Besar kemungkinan juga mendapat suami yang tidak solat itu peluang yang Allah berikan untuk Sofi menambah pahala supaya dapat berada di tempat yang paling baik setelah kembali kepadaNya.

Sesungguhnya, solat adalah tiang agama dan menunaikan solat bererti menegakkan agama dan meninggalkannya bererti mengabaikan agama.
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT sendiri: Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.(al-Ankabut: 45)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×