Bukit Kayu Hitam umpama pekan mati - Utusan Malaysia

Bukit Kayu Hitam umpama pekan mati

KEADAAN Darul Qiyyam Mall di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah yang lengang ekoran penutupan sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Zon bebas cukai Bukit Kayu Hitam di sini tak ubah seperti pekan mati yang lengang tanpa pelancong manakala kebanyakan peniaga pula sudah gulung tikar.

‘Suasana’ yang agak sibuk hanyalah kenderaan perdaga­ngan keluar masuk di sempadan Malaysia-Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Tinjauan Utusan Malaysia di Kompleks Darul Qiyyam, iaitu satu-satunya pusat perniagaan yang masih beroperasi di situ mendapati, hanya dua premis dibuka.

Seorang peniaga di kompleks berkenaan, Faridah Abdullah, 55, berkata, kebanyakan mereka tidak mampu meneruskan perniagaan kerana ketiadaan pe­langgan walaupun setelah Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Setelah PKP tamat, banyak stok barangan rosak kerana tamat tempoh dan untuk mendapatkan bekalan susahlah kerana sempadan masih ditutup.

“Saya mahu tak mahu terpaksa bertahan kerana ini sahaja sumber pendapatan. Saya dapat stok pun sikit sahaja,” katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan semalam.

Faridah yang sudah 20 tahun berniaga barangan dari Thailand di kawasan tersebut berkata, populariti Bukit Kayu Hitam sebagai lokasi membeli-belah lama-kelamaan akan hilang jika keadaan seperti itu berterusan.

“Sebagai penduduk di sini, saya sedih melihat keadaan ini. Banyak premis ditutup dan ramai yang hilang kerja,” katanya.

Seorang penduduk, Nurul Atikah Hassan, 19, berkata, dia terpaksa bekerja di sebuah premis pembungkusan makanan kucing setelah perniagaan ibunya di pusat perniagaan itu ditutup.

“Ibu terpaksa tutup kedai kerana tiada pe­langgan dan tak mampu bayar sewa. Jadi terpaksa saya cari kerja lain,” katanya.

Mat Zaini Ismail, 43, pula berkata, kebanyakan anak muda terpaksa mencari kerja di daerah lain.

“Dulu mereka bekerja di kompleks zon bebas cukai atau di premis-premis perniagaan di sini tetapi sekarang semua ditutup. Banyak yang hilang kerja,” katanya.

Sempadan Malaysia-Thailand ditutup sejak Mac lalu sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×