MASYARAKAT Islam disunatkan melaksanakan ibadah korban pada tanggal 10 Zulhijah dan hari-hari tasyrik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau dan kambing. Ibadah korban atau dalam bahasa Arab disebut udhiyah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah berdasarkan kepada dalil al-Quran, sunnah dan ijmak ulama.
Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dan dielakkan daripada berlaku dalam melaksanakan ibadah korban supaya diterima dan mendapat ganjaran pahala sempurna di sisi Allah SWT.
Pertama, menjadikan daging sembelihan korban sebagai upah kerja. Islam melarang memberikan daging atau bahagian lain daripada haiwan korban sebagai upah kepada petugas yang terbabit menjalankan kerja-kerja korban seperti tukang sembelih, tukang lapah dan sebagainya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim)
Daging korban tidak boleh dijual oleh pembuat korban sama ada dengan cara tukaran wang atau tenaga kerja. Semua transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah dikorbankan’ untuk mendapatkan wang atau tenaga kerja atau selainnya adalah dilarang dan para ulama fiqh sepakat menyatakan hukum haram.
Kedua, mengambil daging korban tanpa keizinan. Perlu difahami bahawa daging korban adalah milik pembuat atau peserta korban, bukan milik penganjur, masjid, surau dan sebagainya.
Penganjur, pengurusan masjid dan surau dilarang bertindak sesuka hati mengagihkan daging korban kepada sesiapa sahaja tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu daripada pemilik sebenar.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang menyembelih korban, maka jangan sehingga tiga hari masih berbaki di rumahnya walaupun sedikit daging. Apabila tahun berikutnya para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apakah kami kena lakukan seperti tahun lepas (tidak boleh simpan daging lebih dari tiga hari)? Sabda Nabi: Sila makan, jamu orang lain dan simpanlah. Sesungguhnya tahun lepas orang ramai dalam kesusahan (kekurangan makanan) maka aku ketika itu mahu kamu menolong mereka.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang melakukan korban berhak dalam menentukan daging korbannya sama ada mahu memakan atau memberikan kepada sesiapa atau menyimpannya.
Ketiga, melakukan sembelihan dengan cara yang kejam tanpa ihsan kepada haiwan. Situasi ini terjadi ketika proses merebahkan haiwan, pisau yang digunakan dan meletakkan haiwan dalam ketakutan. Sifat ihsan perlu dizahirkan ketika menguruskan haiwan sembelihan terutamanya korban yang merupakan ibadah kepada Allah SWT.
HARAM
Keempat, larangan menggunakan harta awam atau orang ramai untuk korban. Pensyariatan ibadah korban adalah ditujukan ke atas individu. Hukum melaksanakan korban adalah sunat muakkad iaitu dituntut bagi sesiapa yang memiliki kemampuan melakukannya.
Ibadah korban tidak terlaksana sekiranya pembiyaan atau dana untuk haiwan korban bersumberkan harta kerajaan, institusi tertentu, badan korporat atau tabung orang ramai dan seumpamanya, melainkan jika haiwan korban itu daripada wang individu tertentu sama ada dari dalam kerajaan, syarikat atau seumpamanya.
Kelima, larangan berkongsi binatang korban lebih daripada jumlah yang diizinkan. Berkongsi melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta dengan dua individu atau lebih adalah tidak dibenarkan. Seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta boleh dijadikan korban untuk seorang individu sahaja.
Kadar ini telah ditetapkan oleh Nabi SAW dalam hadis yang bermaksud: “Kami menyembelih korban bersama Rasulullah SAW pada tahun perjanjian Hudaibiyyah. Seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian).” (Riwayat Muslim)
Perlu difahami bahawa satu bahagian hanyalah untuk seorang. Jika satu bahagian itu hasil daripada duit kutipan atau tabung orang ramai maka itu bukanlah bahagian korban yang disyariatkan. Seterusnya, seekor lembu atau unta untuk tujuh bahagian. Seseorang boleh mengambil lebih daripada satu bahagian, tetapi seekor lembu atau unta tidak dibolehkan untuk dikongsi lebih tujuh orang.
Keenam, melaksanakan ibadah korban dari sumber kewangan yang haram. Korban merupakan ibadah kepada Allah SWT, maka tidak boleh melakukan korban dengan menggunakan hasil daripada wang haram seperti riba, judi, mengambil hak orang lain dan seumpamanya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik.” (Riwayat Muslim)
Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menerima solat tanpa bersuci, tidak menerima sedekah dari pengkhianatan (harta yang tidak amanah).” (Riwayat Muslim, al-Nasai, alTirmizi, Abu Daud, Ibn Majah).
Ketujuh, beranggapan tidak sah sembelihan yang tidak menyebut nama pembuat atau peserta korban. Namun, sebutan nama orang yang melakukan korban ketika sembelihan bukanlah syarat sah korban. Beranggapan tukang sembelih wajib menghafal semua nama peserta korban sebelum menyembelih haiwan korban sebagai syarat sah adalah tidak tepat.
Sebenarnya, menyebut nama adalah sesuatu yang sunnah untuk dilakukan. Jika tidak menyebut nama, tetapi empunya haiwan yang dikorbankan telah berniat korban, maka sah korbannya.
Demikianlah beberapa kesilapan dan salah faham yang sering berlaku dalam pelaksanaan ibadah korban kerana faktor kekurangan ilmu dalam perkara yang berkaitan. Selain itu, niat yang tidak tulus juga boleh menyumbang kepada kesalahan berlaku dalam ibadah seperti kepentingan diri, ingin mengambil kesempatan atas sesuatu ibadah dan seumpamanya.
Semoga ibadah korban yang dilaksanakan pada tahun ini diterima dan mendapat ganjaran yang sebaiknya di sisi Allah SWT. Segala kesalahan dan kesilapan diampunkan oleh Allah SWT. – UTUSAN
DR. Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).











