Inilah pengorbanan kecil kami

Inilah pengorbanan kecil kami

PENULIS (kiri) dan rakan-rakan akan menyambut Hari Raya Aidiladha di kampus berikutan sedang menduduki peperiksaan akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSYA-ALLAH esok, 10 Zulhijah, umat Islam di seluruh tanah air akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Lebih bermakna lagi, ini kali pertama kita menyambutnya setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik. Ini bermakna, tiada lagi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk ibadah korban serta sambutan hari raya. Oleh itu, sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini pasti bertambah meriah.

Berikutan jatuh pada hari Ahad, ramai umat Islam akan mengambil peluang cuti hujung minggu yang panjang untuk berhari raya serta menyempurnakan ibadah korban di kampung halaman. Lebuh raya pasti sesak dan perjalanan pergi-balik mengambil masa yang panjang.

Kemeriahan Hari Raya Aidiladha lebih terasa bila mana kita bergotong-royong menyempurnakan aktiviti korban. Daripada penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan daging, serta memasak sehinggalah makan bersama-sama. Semua aktiviti yang dilakukan bersama-sama dapat mengeratkan hubungan sesama kita.

Walaupun saya tinggal di kota raya, namun kami masih mengamalkan aktiviti bergotong-royong di surau. Maka suasananya sangat meriah. Keadaannya amat berbeza sekiranya masyarakat setempat tidak terlibat secara langsung dalam menyempurnakan ibadah tersebut.

Walaupun kami dibenarkan pulang, namun saya dan ramai rakan mengambil keputusan untuk menyambut hari raya korban di kampus pada tahun ini. Inilah pengorbanan kecil kami dalam menimba ilmu memandangkan kami sedang menduduki peperiksaan akhir semester sehingga hujung minggu hadapan.

Keakraban persahabatan kami di sini sedikit sebanyak diharap dapat mengubat perasaan rindu tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga. Jika tiada acara sambutan hari raya di kampus, saya jangkakan kami akan meneruskan rutin harian selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha. Namun, sudah pasti kami akan membuat panggilan video bersama keluarga untuk mengubat rindu. Siapa yang tidak berasa hiba apabila tidak dapat mencium tangan ibu dan ayah di pagi hari raya?

Sudah pasti pagi hari raya akan terasa amat sepi dan kosong tanpa keluarga di sisi. Apatah lagi bagi kami yang pertama kali menyambut hari raya berjauhan daripada keluarga tercinta.

Tambah menyedihkan bagi saya, ayah sudah tiada. Maka, saya sedar ketiadaan saya di rumah akan lebih dirasai oleh ibu dan kakak-kakak. Namun, ini sebahagian daripada pengorbanan yang terpaksa kami tempuh demi masa hadapan lebih cemerlang.

Mudah-mudahan pengalaman ini akan menjadikan kami lebih cekal dan bersemangat waja. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya; justeru kami mesti berusaha keras dan berkorban demi mencapai cita-cita.

Saya yakin ramai yang sudah tidak sabar untuk pulang berhari raya di kampung halaman. Apatah lagi, kali ini kita tidak lagi dikekang oleh SOP ketat seperti tahun-tahun sebelumnya.

Namun, kita mesti terus berwaspada kerana virus Covid-19 masih bersama kita. Kita mesti lebih berhati-hati dalam menjaga kebersihan serta kesihatan diri.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Maaf zahir dan batin. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×