Perlukah jadi seperti Hang Jebat?

Perlukah jadi seperti Hang Jebat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA mana hari ini, orang Melayu berpusu-pusu menyerbu pawagam untuk melihat satu sejarah kebangkitan Melayu. Ini membuktikan bahawa dengan kesatuan orang Melayu, sesuatu yang luar biasa boleh berlaku. Setidak-tidaknya filem Melayu tidak lagi dilihat sampah. Mat Kilau, satu watak dalam sejarah telah kembali dan sedang mengingatkan kita bahawa orang Melayu boleh memperjuangkan nasib bangsanya.

Namun, saya teringat pada satu lagi watak dalam sejarah yang seolah-olahnya sangat diperlukan dan harus kembali untuk menyedarkan bangsa ini yang sedang tenggelam dalam tidur yang dalam, iaitu Hang Jebat.

Himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan bantahan tragedi Adib (anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terkorban dalam rusuhan di tapak kuil pada 2018) telah mencuba bangsa ini. Melayu pernah bangkit. Namun kebangkitan yang merubah kerajaan hanyalah digunakan oleh sebahagian pemimpin Melayu untuk kepentingan mereka. Kononnya tertegaklah kerajaan Melayu Islam, namun penindasan, kezaliman, tekanan terhadap rakyat dan ketidakadilan terus berlaku. Yang kekal meragut keuntungan hanyalah pihak tertentu dan majoriti rakyat kekal tertekan. Namun, orang Melayu terus sabar dan berharap.

Kemudian bertimpa dari satu ujian kepada ujian yang lain. Ujian pandemik sudah benar-benar menguji, datang pula tragedi banjir yang memusnahkan. Kegagalan ketika mana pandemik dan banjir berlaku adalah cukup-cukup jelas. Kematian dan kehilangan harta benda. Rakyat mengungguli slogan ‘Kita Jaga Kita’ dan turun ke lapangan membantu sedayanya. Kemarahan bersulam ganti dengan reda dan sabar ketika mana rakyat bertimpa-timpa turun membantu.

Namun, kita sebenarnya gagal melakukan muhasabah tentang punca sebenar kegagalan pemimpin dalam mengurus, mengelak dan mencari penyelesaian tentang pandemik dan punca tragedi banjir itu. Surut air, maka surutlah kemarahan dan rakyat sekali lagi mengungguli kesabaran.

Dari banjir selut ke banjir balak. Alam menyampaikan peringatan atas kerakusan sebahagian manusia. Ketamakan sebahagian kita menjadi mimpi ngeri sebahagian yang lain. Banjir kilat yang menyusul terus menjadi loceng peringatan bahawa kebodohan dan kesombongan pemimpin dalam meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam amanah mereka. Dan rakyat terus diminta bersabar.

Menjelang kesan pandemik yang semakin bubar, rakyat kembali bergelut mencari pendapatan. Sebahagian yang tidak makan gaji berasa beban lebih teruk daripada yang lain. Peniaga dan majikan bergelut untuk pulangan semula modal kesan kemarau ekonomi yang panjang dan hasrat untuk tidak membuang pekerja mereka. Mereka yang hilang pekerjaan mahupun pendapatan menggagahi trauma tekanan mental untuk menyambung kehidupan keluarga. Mereka bersabar.

POLITIKUS

Belum usai kegersangan ekonomi, rakyat terhimpit lagi dengan kenaikan harga barang bermula dengan harga besi dan bahan binaan, petrol dan diesel hingga ke barangan rumah, minyak masak, sayur, telur dan ayam. Terdengar slogan-slogan bodoh sebahagian politikus untuk membuka ruang import seluasnya atau untuk rakyat mencatu makanan kita. Mereka sedang menguji lagi kesabaran rakyat.

Mereka berlakon tidak tahu apabila ruang import dibuka seluasnya, rakyat kononnya akan tenang dengan harga yang murah seketika. Namun pengusaha, pengeluar dan penternak tempatan menjadi mangsa apabila industri tempatan musnah dan rakyat menjadi hamba ‘import’ yang boleh sahaja naik harga, apabila pasaran perdagangan terjejas oleh apa sahaja alasan.

Namun, yang kita acap kali dengar daripada pemimpin adalah pertikaian kerusi politik dan laungan untuk pilihan raya umum bagi mencapai kestabilan. Kita sekali lagi diuji untuk menilai kepandaian rakyat sama ada pilihan raya yang dilaungkan benar-benar untuk mendapatkan kestabilan politik atau untuk menyelamatkan sebahagian pemimpin daripada terjerut dalam pengadilan yang sedang menentukan sama ada mereka telah benar-benar merompak dan culas dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Terbaru, yang dilaungkan adalah untuk merebut jawatan timbalan perdana menteri. Adakah posisi ini akan merubah nasib rakyat? Dan sebenarnya ada banyak lagi cabaran bangsa ini yang kita tidak sedar yang hanya mampu terbongkar jika sebuah kerajaan adil mampu dibangunkan rakyat.

Bangsa ini sungguh bersabar, sabar atau sangat keliru.

Dalam bangsa ini juga ada sekumpulan rakyat yang kerana sabar mereka, atau kerana sifat tamak untuk mengejar kepentingan peribadi, atau sedikit ganjaran jangka pendek telah membenarkan korupsi, penindasan dan kezaliman berlaku di hadapan mata. Malangnya juga, bangsa pahlawan ini tetap bersabar walau mereka inilah sebenarnya pengkhianat kepada bangsa. Saya juga percaya kata kunci kepada permasalahan negara dan politik hari ini terletak pada bangsa Melayu, jika mereka ingin merubah nasib dan masa depan.

Teringat kata-kata seorang adik ketika saya meletak jawatan dalam posisi penting di pundak-pundak kuasa, “Apabila orang-orang baik lari dari pundak-pundak kuasa maka yang tinggal hanyalah para perompak, penyamun dan penzalim memerintah.”

Sama istilahnya ini mungkin dengan kata-kata keramat oleh pejuang penindasan warga kulit hitam di Amerika Syarikat, Martin Luther King dengan kata-katanya, “Tragedi paling besar bukanlah penindasan dan kekejaman oleh orang jahat, namun tragedi besar ini adalah ketika mana orang-orang baik (bersabar dan) berdiam diri.”

Saya berasa sangat aneh bangsa ini, sabarnya luar biasa. Bilakah bangsa ini mampu bangkit daripada dibuli dan ditindas? Bila agaknya Hang Jebat akan bangkit? Saya percaya ada Hang Jebat dalam setiap tubuh kita. Maka bangkitlah dengan tujuan yang benar dan pertahankanlah masa depan bangsa dan negara ini. – UTUSAN

DATUK Nizam Mahshar ialah Presiden Ikatan Inteligentsia Membangun Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×