KUALA LUMPUR – Lembaga Pemantauan Audit (AOB) pada 2018 memeriksa enam firma audit utama dan tujuh firma audit lain.
Firma-firma itu secara kolektif syarikat awam tersenarai (PLC) teraudit yang mewakili kira-kira 94 peratus daripada jumlah permodalan pasaran PLC.
Suruhanjaya Sekuriti dalam kenyataannya berkata, AOB menyatakan pengurangan keseluruhan dalam bilangan pemerhatian yang berulang daripada lapan firma yang diperiksa semula hanya satu pemerhatian yang berulang dinyatakan dalam dua firma audit.
Katanya, walaupun firma-firma mengambil langkah untuk menambah baik kualiti audit, AOB tetap prihatin terhadap isu-isu dalam bidang seperti pensampelan dan audit pengiktirafan pendapatan masih berterusan.
“AOB menggesa firma-firma audit untuk mengamalkan kerangka analisis asas yang lebih berstruktur dan tersusun untuk memastikan langkah-langkah pemulihan yang diambil untuk menangani pemerhatian yang diperoleh adalah berkesan dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah SC, AOB mengambil tindakan penguatkuasaan kali pertama pada tahun lalu terhadap rakan kongsi semakan kawalan kualiti tugasan (EQCR) atas kegagalan mereka dalam melaksanakan fungsi-fungsi pengawalan mereka dalam tugasan pengauditan.
Jelasnya, AOB juga berkongsi pemerhatian pemeriksaan terhadap tugasan pengauditan yang diperiksa dengan Jawatankuasa Audit syarikat tersenarai awam, memandangkan kebimbangan AOB terhadap kualiti audit dan penyumberluaran kerja auditnya kepada juruaudit lain.
Katanya lagi, kriteria baharu pendaftaran diperkenalkan untuk memastikan peranan pengawalan juruaudit kekal relevan dan lebih penting lagi untuk menggalakkan firma audit untuk meningkatkan kapasiti dan menambah baik kualiti audit mereka.
“Kriteria baharu termasuk memastikan bahawa rakan audit yang berdaftar berkhidmat untuk satu firma audit pada setiap masa dan memastikan firma audit yang berdaftar dengan AOB mempunyai sekurang-kurangnya tiga rakan audit.
“Di samping itu, EQCR entiti kepentingan awam (PIE) dan kumpulan wang jadual audit kini mesti dijalankan oleh rakan berdaftar AOB firma audit yang sama yang dilantik sebagai juruaudit. Pendaftaran firma audit yang berterusan dengan AOB juga tertakluk kepada firma audit yang mempunyai sekurang-kurangnya satu PIE atau kumpulan wang jadual klien audit dalam tempoh 24 bulan yang lalu,” ujarnya.
Tambahnya, AOB kekal fokus dalam usaha penguatkuasaannya untuk melindungi pelabur dan pihak berkepentingan lain dan menetapkan tahap untuk audit berkualiti tinggi. – UTUSAN ONLINE











