LONDON – Pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva akan memenangi Ballon d’Or apabila Lionel Messi serta Cristiano Ronaldo menunjukkan tanda-tanda kejatuhan atau bersara, kata bekas bintang Portugal, Paulo Futre.
Silva menyertai 51 perlawanan bersama City dalam kemenangan treble mereka musim ini apabila kelab tersebut memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Carabao serta mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Pemain kebangsaan Portugal itu meraih ‘rating’ yang tinggi di dalam skuad Citizens, termasuk menjadi tonggak dalam mengatasi Liverpool untuk muncul juara Liga Perdana, di samping dia turut dipilih oleh penyokong sebagai Pemain Terbaik Musim 2018-19.
“Saya fikir Bernando akan menjadi salah seorang yang bersedia untuk memenangi Ballon d’Or, ini kerana dia merupakan pemain yang mempunyai banyak tanggungjawab dalam pasukan hebat seperti Manchester City.
“Dia akan terus berkembang dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, apabila Messi dan Cristiano bersara, saya fikir dia akan menjadi salah seorang pemain yang berpotensi memenangi Ballon d’Or,” katanya.- AGENSI











