KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan laporan Utusan Malaysia, yang mengaitkan menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membincangkan berhubung hala tuju Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)
KBS dalam satu kenyataan memaklumkan, perjumpaan Syed Saddiq bersama Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di pejabat menteri itu semalam bertujuan membincangkan perihal menurunkan umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun.
“KBS kesal dengan laporan tersebut yang menunjukkan bahawa wujudnya pengaruh dan penglibatan ahli politik di dalam persatuan sukan.
“Menteri sehingga kini tetap dengan pendiriannya bahawa persatuan sukan tidak harus ada sebarang campur tangan mahupun penglibatan secara langsung dari pada ahli politik,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia menerusi sumber rapat melaporkan, pertemuan melibatkan Syed Saddiq dengan Abdul Rashid di pejabatnya semalam turut membincangkan secara santai berhubung hasrat tokoh berkenaan menawarkan diri bagi menerajui Kafa.
“Pertemuan itu, asalnya untuk membincangkan soal penglibatan golongan belia dalam pilihan raya. Namun perkembangan bola sepak Kelantan turut diperkatakan secara santai,” kata sumber tersebut.
Dalam pada itu, KBS berharap tiada lagi kenyataan atau pun laporan sebegitu dilaporkan menerusi akhbar mahupun medium lain.
“Pelbagai pihak serta pemegang taruh berkaitan perlulah merujuk terlebih dahulu kepada wakil KBS bagi mendapatkan kepastian terutama sekali terhadap isu-isu seperti ini. Kami sentiasa terbuka untuk dihubungi bagi tujuan tersebut,” tambah kenyataan tersebut.- UTUSAN ONLINE











