Negeri Sembilan kutip hasil RM270 juta dalam 6 bulan - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan kutip hasil RM270 juta dalam 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Kerajaan negeri memperoleh kutipan hasil berjumlah RM270 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM20 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan kutipan tersebut pihaknya yakin mencapai sasaran sebanyak RM430 juta sepanjang tahun ini, meningkat daripada RM421 juta yang berjaya dikutip tahun lalu.

Beliau berkata, kutipan itu dicapai dengan adanya penambahbaikan dalam kerajaan negeri terutama melalui sistem elektronik Doket (e-Docket).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mula perkenalkan sistem e-Docket kepada lima syarikat pada awal April lalu dan mendapati lima kawasan yang melaksanakannya mencatat peningkatan kutipan hasil sebanyak lima hingga tujuh peratus.

“Tahun ini kita sasar kutipan RM430 juta tetapi yakin kita boleh dapat sehingga RM435 juta, Insya-Allah kita doa. Seperti tahun lalu pada awalnya kita letak sasaran RM412 juta tetapi dapat RM421 juta.

“Dengan pegawai dan semangat yang ada, kita akan buat kutipan lebih tinggi pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan 15 buah kenderaan penguatkuasaan kepada 12 jabatan dan agensi di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Aminuddin memberi jaminan bahawa bekalan air bersih di negeri ini mencukupi bagi menampung keperluan pengguna bukan sahaja di negeri ini malah beberapa kawasan di Melaka.

Jelasnya, perjanjian yang dipersetujui bagi membekalkan air bersih ke negeri jiran itu baru-baru ini bergantung kepada permintaan pengguna di negeri berkenaan.

“Kita gunakan satu saluran (paip), jika Melaka perlukan air, mereka akan buka paip dan setiap sambungan ada meter. Bayaran akan dibuat berdasarkan kiraan meter itu,” katanya.

Tambahnya, kerjasama yang dilakukan adalah bagi membantu Melaka yang mengalami kemarau dan bukan untuk mengambil kesempatan atau keuntungan atas kesusahan negeri berkenaan.

“Empangan kita pada paras 95 peratus sejak dua bulan lalu tetapi Melaka hanya 44 peratus. Kerjasama adalah untuk memastikan bekalan air cukup untuk bantu mereka yang menghadapi masalah kemarau. Kalau masalah mereka selesai, kita akan hentikan bantuan itu,” katanya.

Kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd (Sains) minggu lalu bersetuju membekalkan 12 juta liter air bersih tambahan sehari kepada Melaka dengan kadar RM1.40 bagi setiap meter padu berkuat kuasa 19 Jun sehingga 31 Disember tahun depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini