SHAH ALAM -Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menyumbangkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex kepada rumah kebajikan dan pusat jagaan sebagai sumbangan zakat perniagaan syarikat tersebut.
Penerima MPV 12 tempat duduk itu ialah Pusat Jagaan Kasih Harapan Kota Damansara dan Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Hasanah, Ukay Perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pihaknya turut menyumbang sebuah karavan makanan kepada seorang peniaga trak makanan di Bangi.
“Jumlah keseluruhan hari ini berjumlah RM284,000 yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Prolintas untuk mendekati golongan yang kurang berkemampuan di sekitar jajaran lebuh raya kendalian kami,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Prolintas 2019 dan penyerahan dua buah MPV dan sebuah karavan di Plaza Tol Alam Impian di sini semalam.
Sementara itu, penerima karavan, Zaitun Awang, 51, berkata, penantiannya hampir empat tahun untuk memiliki sebuah trak makanan itu akhirnya tercapai.
Menurut ibu kepada enam anak itu,
akan memulakan perniagaan nasi campur pada awal Julai ini di sekitar Bandar Baru Bangi.
“Saya tidak sangka terpilih untuk menerima trak makanan ini kerana hampir empat tahun saya dan suami memohon untuk mendapatkannya (trak makanan).
“Selepas ini, saya tidak perlu lagi menjadi pengasuh dan suami pula tidak perlu mencari kerja sampingan lain kerana boleh memulakan perniagaan nasi campur dengan adanya karavan ini,”katanya. – K! ONLINE











