TAPAH – Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 66, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Taman Sri Mas, Bidor di sini semalam.
Nahas pada pukul 9 malam itu mengorbankan Chee Kok Choon, 47, yang memandu kereta Proton Wira manakala isterinya, Cheh May Ling, 46, pula patah tangan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu membabitkan kereta dinaiki pasangan suami isteri tersebut dan sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki tiga lelaki.
Katanya, kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Persona yang dalam perjalanan menuju ke Ipoh.
“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Proton Wira cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala isterinya pula patah tangan.
“Pemandu sebuah lagi kereta berusia 26 tahun hanya cedera ringan manakala dua lagi rakannya tidak cedera,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat selain yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Katanya, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terlibat dalam kejadian itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
“Kenderaan tersebut juga ditahan dan akan dihantar ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) bagi pemeriksaan lanjut. Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN ONLINE











