Kehidupan Orang Asli kembali normal - TPM - Utusan Malaysia

Kehidupan Orang Asli kembali normal – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kehidupan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang sebelum ini dibelenggu masalah kesihatan, telah kembali normal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, menerusi satu laporan dan mesej WhatsApp, Orang Asli terlibat dilihat sudah pulih serta boleh bermain gitar dan menyanyi.

“Saya sudah bangkitkan di Kabinet bahawa punca air mereka mestilah diperbaiki. Dan kerana ada perlombongan walau tidak mencemarkan, namun pada segi visualnya tidak seperti dulu. Jadi kita mahu kerajaan memberi sumber air lebih baik dan meyakinkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun saya diberikan satu laporan dan satu (mesej) WhatsApp bahawa Orang Asli sudah pulih dan bermain gitar dan menyanyi semua. Alhamdulillah ini menunjukkan mereka balik kepada aktiviti normal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perjumpaan YAB Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Kerja dan Kumpulan Sasar 2019 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah berkata, hasil ujian sampel air sungai yang dibuat kali ketiga iaitu sumber air penduduk berkenaan mendapati ianya normal sepertimana hasil ujian kali pertama.

Ditanya laporan mengenai tangki air penduduk yang tiada air sejak April lalu, beliau berkata, pihaknya telah meminta kementerian-kementerian berkaitan untuk menangani masalah berkenaan.

“Bukan soal April atau Julai tetapi mereka mesti ada air. Itu keperluan asas yang perlu diberikan kerana orang Asli pun orang Malaysia juga,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan 15 orang asli Kampung Kuala Koh, meninggal dunia sejak awal Mei lepas dan disahkan berpunca dari radang paru-paru dan demam campak.

Dalam kes berlainan, Dr. Wan Azizah menambah, kerajaan belum dapat mengenal pasti punca insiden pencemaran udara yang berlaku buat kali kedua di Pasir Gudang, Johor ketika ini.

Beliau memberitahu, pihaknya telah menempatkan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di kawasan itu dalam memantau sampel berkaitan untuk menentukan punca sebenar insiden berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini