KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memiliki bahan letupan untuk tujuan mengebom ikan ditahan dalam Op Pensura di kawasan laut Tanjung Pantau Pantau, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan itu dibuat kira-kira pukul 12 tengah hari semalam hasil dari maklumat Unit Risikan Marin (URM) PPM Semporna.
“Semasa pasukan tersebut membuat rondaan, mereka terserempak perahu yang dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya kerana menggunakan enjin pam.
“Hasil pemeriksaan di dalam ruangan perahu yang dikendali lelaki Palauh berusia 45 tahun itu, kita telah menemukan kit detonator, baja ammonia serta botol kaca yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Pajeri, hasil pemerhatian awal, lelaki Palauh tersebut didapati mahir dalam pembuatan bom ikan.
Katanya, suspek dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6,563 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu membuat serta memiliki dibawah jagaannya bahan letupan.
“Jika sabit kesalahan, hukuman tidak lebih dari tujuh tahun penjara atau denda tidak lebih dari RM10,000 atau kedua-duanya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











