Abd. Rahim ketuai Pasukan Petugas Khas - Utusan Malaysia

Abd. Rahim ketuai Pasukan Petugas Khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA- Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Rahim Uda dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes kehilangan aktivis sosial, Pastor Raymond Koh Keng Joo dan Amri Che Mat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh lima ahli lain itu juga akan menyiasat semula laporan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Beliau berkata, pasukan berkenaan diberikan tempoh selama enam bulan untuk melakukan siasatan dengan kes Amri akan didahulukan kerana kes melibatkan kehilangan Raymond masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kes Amri, pasukan ini akan siasat laporan yang dikeluarkan Suhakam dan untuk kes Raymond, siasatan hanya akan dilakukan setelah selesainya perbicaraan di mahkamah bagi mengelak berat sebelah kerana masih ada seorang suspek dibicarakan.

“Kementerian memandang serius dapatan laporan Suhakam dan menyambut baik cadangan penubuhan sebuah Jawatankuas Khas Siasatan untuk kedua-dua kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Ahli lain pasukan itu ialah bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM, Datuk Mohktar Mohd. Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Muhammad Bukhari Ab. Hamid.

Dua lagi ahli ialah, Pegawai Undang-Undang Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) Kementerian Dalam Negeri, Mohd. Russaini Idrus.

Sebelum ini, dapatan Suhakam tentang kehilangan kedua-dua aktivis sosial itu mempunyai kaitan dengan Cawangan Khas PDRM berdasarkan inkuiri awam yang bermula pada Oktober 2017.

Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017 manakala, Amri yang merupakan pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016.

Muhyiddin berkata, selepas beliau menerima laporan Pasukan Pasukan Khas, hasil siasatan akan dibentang kepada jemaah menteri dan diharapkan inisiatif itu dapat memberi keadilan kepada semua pihak berkaitan.

Ditanya mengenai ahli pasukan itu yang turut dianggotai oleh wakil PDRM, Muhyiddin berkata, ahli yang tersenarai itu bukan dari unit Cawangan Khas dan beliau percaya kes berkenaan akan disiasat dengan telus.

“Sekarang kita biarkan pasukan ini lakukan tugasan yang diamanahkan, terpulang kepada mereka sama ada mahu memanggil semula 40 saksi dalam kes ini yang telah dipanggil oleh Suhakam sebelum ini dalam pendengaran awam mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abd. Rahim berkata, mesyuarat pertama pasukan itu dijangka diadakan pada minggu hadapan.

“Siapa pun saksi yang dipanggil nanti, kita akan pastikan siasatan dilakukan dengan adil,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini