KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Selamat’ diburu selepas dipercayai mencederakan rakan senegeranya dalam satu insiden di Stutong, Tabuan Jaya, di Kuching Sarawak malam tadi.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kejadian berlaku di sebuah asrama pekerja milik sebuah kafe di aras tiga sebuah bangunan komersial.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam itu, seorang wanita berusia 36 tahun mengalami kecederaan akibat dikelar di leher, perut dan juga kepala.
“Mangsa yang berlumuran darah berjaya mendapatkan pertolongan dari orang awam di pusat komersial Stutong di Jalan Setia Raja dan kemudian terus dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Awang Din memberitahu pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung hubungan suspek dengan mangsa.
“Siasatan setakat ini mendapati mangsa mengenali suspek lebih kurang enam bulan di Indonesia dan suspek bekerja di restoran bersebelahan dengan tempat kerja mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, mangsa kini masih menerima rawatan di HUS dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











