KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi teras, meningkat 0.2 peratus pada Mei kepada 121.4 berbanding 121.1 bagi tempoh sama tahun lepas.
Menurut Jabatan Perangkaan, kumpulan pertama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+1.8 peratus), minuman alkohol dan tembakau (+1.3 peratus), pendidikan (+1.2 peratus), restoran dan hotel (+0.6 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+0.5 peratus).
Bagi perbandingan bulanan, IHP menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding April 2019, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari – Mei 2019 mencatatkan penurunan 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan 1.2 peratus pada Mei 2019.
“Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan sayur-Sayuran (+4.5 peratus), ikan dan makanan laut (+0.9 peratus) dan susu dan telur (+0.7 peratus),” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, bagi IHP mengikut negeri, Pulau Pinang mencatatkan +0.7 peratus, Negeri Sembilan (+0.6 peratus) dan Kuala Lumpur (+0.5 peratus) yang menunjukkan kenaikan melepasi paras nasional sebanyak 0.2 peratus pada Mei 2019 berbanding Mei 2018.
Menurut jabatan itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicatatkan di semua negeri di Malaysia dengan Kuala Lumpur merekodkan kenaikan (+2.8 peratus), Johor (+1.8 peratus) dan Negeri Sembilan (+1.4 peratus), mencatatkan peningkatan melebihi paras indeks nasional kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol bagi Mei tahun ini. – BERNAMA











