Anggota polis, pesara didakwa salah guna kad inden - Utusan Malaysia

Anggota polis, pesara didakwa salah guna kad inden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Seorang pesara dan anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah menggunakan kad inden minyak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesara, Zahari Daud, 59, dan anggota polis, Mior Mohd. Syamsul Jalaluddin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat dan 23 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut empat pertuduhan ke atas Zahari, tertuduh yang diberikan amanah memegang kad inden minyak milik PDRM didakwa dengan curang melakukan pecah amanah bagi pembelian bahan api diesel berjumlah RM7, 833.43.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 November dan 2 Disember 2016 di empat stesen minyak di sekitar negeri ini.

Manakala Mior Mohd. Syamsul yang bertugas di Cawangan Pengangkutan, Ibu pejabat Polis Daerah Alor Gajah pula didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan nilai RM13, 851.42 di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Perak sejak Januari 2016 hingga Mei 2017.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Zahari manakala RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang didakwa ke atas Mior Mohd. Syamsul.

Mior Mohd. Syamsul diwakili Peguam Mohd. Fadzlullah Ramlee manakala Zahari tidak diwakili peguam.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin masing-masing sebanyak RM15,000 dan RM25, 000, selain menetapkan tarikh 22 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini