TAIPING – Kegiatan dua lelaki bergelar Geng Lan Ijok yang aktif melakukan pecah rumah di sekitar kawasan Assam Kumbang berakhir apabila mereka diberkas dalam tangkapan berasingan minggu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 30-an di sebuah rumah di Jalan Panglima, Assam Kumbang pada pukul 4 petang, 17 Jun lalu.
Katanya, siasatan terhadap suspek telah membawa kepada tangkapan kedua yang merupakan dalang utama kumpulan itu yang dikenali sebagai Lan Ijok di dusun durian di Redang Panjang, Selama.
“Siasatan yang dilakukan terhadap dua suspek itu berjaya menjumpai semula pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah tersebut yang bernilai RM70,000.
“Antara barang yang dirampas termasuk barangan kemas, jam tangan mewah, telefon bimbit dan pelbagai gajet,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.
Menurut Osman, kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak hujung tahun lalu dan dipercayai terlibat dalam 16 kes di sekitar Assam Kumbang.
Katanya, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menyasarkan rumah penduduk yang tidak berpenghuni dengan memecah masuk pada waktu malam melalui pintu dan tingkap yang diumpil.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka yang direman sehingga hari ini mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Kita akan memohon reman untuk dilanjutkan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes jenayah lain. Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











