KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas telah ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani pengedaran dan penagihan dadah di pusat peranginan Pulau Langkawi, Kedah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, arahan telah pun dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengenai perkara ini.
Ujarnya, susulan itu, usaha-usaha pembanterasan telah giat dijalankan dan sudah tentu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius mengenai perkara ini.
“Sehubungan itu, kita akan berikan statistik mengenai operasi yang dijalankan sedikit masa lagi bagi memaklumkan usaha-usaha yang telah kita laksanakan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM).
Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya pada 23 Jun lalu mendedahkan mengenai dadah yang bebas dibawa masuk ke pulau peranginan terkenal itu.
Abdul Hamid dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti.
Menurutnya, perkara tersebut juga telah disuarakan secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu bimbang ancaman kegiatan dadah ini yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.
“Perdana Menteri sendiri memberikan contoh di Pulau Langkawi, yang membayangkan seolah-olah tidak ada langsung kawalan oleh polis di sana.
“Dadah bebas dibawa keluar masuk tidak kira jenis apa sekalipun seperti ketamin dan syabu. Bukan itu sahaja, pantai Langkawi itu seperti pulau antarabangsa yang bebas dimasuki sesiapa sahaja tanpa ada satu bentuk kawalan yang drastik daripada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata Hamid.- UTUSAN ONLINE











