KUALA LUMPUR 26 Jun – Debat antara Pendakwah Islam, Firdaus Wong Wai Hung dan peguam Siti Kasim dijadual berlangsung bulan depan.
Dalam tangkap layar mesej perbualan antara Siti Kasim dan jurucakap Firdaus Wong, Abu Shariz yang dikongsi di Facebook peguam tersebut menyatakan debat berkenaan akan berlangsung dari pukul 2.30 petang hingga 5 petang.
Tiga tajuk dicadangkan iaitu ‘Dakwah Islam dikritik, kerja missionari Kristian didiamkan?’; ‘Dakwah kepada Orang Asli bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang’ serta ‘Orang Asli dibantu atau dizalimi oleh institusi agama’.
Lokasi debat dicadang diadakan di Lembah Kelang atau kawasan yang dipersetujui oleh Siti Kasim dan mempunyai kapasiti 300 tempat duduk. Sebanyak 50 tempat duduk akan diberikan kepada setiap pendebat untuk penyokong masing-masing.
Kos perbelanjaan debat akan dikongsi oleh kedua-dua pihak dan akan disiarkan secara langsung di platform media yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Siti Kasim dalam reaksinya yang ditulis dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau tidak berhasrat untuk membazirkan wang untuk membayar kos penganjuran.
“Dengan semua teknologi yang ada sekarang, FB live sudah mencukupi. Hanya perbualan antara anda dan saya dalam suasana yang selesa. Sangat tidak rasmi.
“Topik adalah mengenai apa yang anda telah hantar. Sangat ringkas. Apa kata anda Firdaus?” tulis Siti Kasim.
Sebelum ini, Siti Kasim mencabar Firdaus Wong untuk berdebat melalui ruangan komen dalam hantaran yang ditulis oleh pendakwah Islam itu di Facebook berkaitan berita yang diterbitkan oleh National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia (NEFC) mengenai misi pertubuhan itu terhadap masyarakat Orang Asli.
“Adakah Siti Kasim, PROHAM dan seangkatan akan mengkritik dan menghentam The National Evangelical Christian Fellowship NECF Malaysia sebagaimana mereka menghentam Jakim dan MAIK serta Majlis Agama Negeri lain yang berusaha berdakwah kepada Orang Asli yang termaktub sebagai hak Perlembagaan!” tulis Firdaus Wong.
Hantaran tersebut kemudiannya dijawab oleh Siti Kasim dalam ruangan komen.
“Firdaus, lets have a face to face debate if you want on this. I’m open to it. You game? (Firadus, jom kita berdebat secara bersemuka mengenai isu ini. Saya bersedia. Anda bersedia?).
“Isu debat mesti berkaitan mengenai hantaran ini. Tajuk debat akan dipersetujui kedua-dua pihak. Saya akan mesej anda butiran lain,” kata Siti Kasim.
Cabaran debat itu kemudiannya disahut dan dipersetujui oleh Firdaus Wong juga melalui media sosial.-UTUSAN ONLINE











