Berwasiatlah sebelum terlambat - Utusan Malaysia

Berwasiatlah sebelum terlambat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
RAMAI
yang pastinya akan terkejut apabila dilaporkan bahawa nilai harta pusaka umat Islam di Malaysia terpaksa dibekukan sejak sekian lama hampir mencecah lebih RM40 bilion. Nilai yang cukup besar jika boleh dimanfaatkan untuk membangunkan ummah.

Boleh dikatakan masih ramai umat Islam di negara ini bukan hanya kurang pengetahuan tetapi masih keliru tentang wasiat dan hibah, walaupun sedia maklum ia satu kewajipan dalam agama Islam.

Sebahagian masyarakat berpandangan wasiat adalah kata-kata atau pesanan seseorang mengenai hartanya sebelum meninggal dunia. Malah ada juga yang beranggapan wasiat dan hibah sebagai menidakkan proses hukum faraid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, kepentingan wasiat telah disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 180 bermaksud: “Diwajibkan keatas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf.”

Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, sedangkan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat.

Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak, maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta.

Pun begitu, berwasiat bukan bererti proses pengagihan harta pusaka sudah selesai. Termeterainya wasiat oleh pemilik harta pusaka hanya langkah pertama, bukan penamat.

Kegagalan pemilik harta memahami susur galur proses wasiat sebaik sahaja kematiannya akan membawa bebanan kepada warisnya sendiri. Jika anda meninggal dunia tanpa berwasiat, pusaka anda mungkin tidak dapat diserah kepada penerima dihajati.

Seharusnya kita sebagai masyarakat Islam, membudayakan serta memperkasakan amalan penulisan wasiat kerana berwasiat tidak semestinya perlu berharta.

Wasiat bukan sekadar pesanan pembahagian harta sahaja malah ia adalah pesanan untuk melantik ‘wasi’ kepada harta pusaka miliknya.

Jika pemilik harta mempunyai hutang, ia wajib diselesaikan dan wajib untuknya membuat wasiat.

Malahan, pemilik harta juga boleh membuat pesanan untuk melantik mana-mana penjaga kepada anaknya yang masih di bawah umur, atau menyatakan sesuatu harta yang dipegang itu bukan miliknya yang perlu dikembali kepada pemilik asal.

Bermaksud, apa sahaja pesanan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak boleh dinyatakan dalam dokumen wasiat.

Mudahnya sekarang telah banyak wujud agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan wasiat secara profesional dan bertauliah.

Perkhidmatan disediakan tidak lain untuk memberi kemudahan kepada masyarakat untuk merancang dan mengurus harta pusaka mereka secara efektif dan cekap melalui kaedah syariah, di samping dapat memelihara keharmonian dan membugar kerukunan institusi kekeluargaan.

ELYN MOHD. RIDZWAN

Pensyarah Jabatan Perdagangan
Politeknik Johor Bahru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini