PIALA Dunia 2022 dan Qatar adalah sinonim kini. Hanya tinggal tiga tahun lagi. Dalam begitu banyak negara yang gah di bumi Arab dalam sejarah, seperti Maghribi, Algeria, Mesir dan Iraq, namun Qatar melonjak keluar sebagai penganjur pertunjukan terbesar dunia.
Qatar ialah negara tonet sebesar Terengganu yang berpenduduk sama banyak dengan Sarawak, kira-kira 2.7 juta orang. Jika Semenanjung Tanah Melayu tergantung ke bawah dari tanah besar, Qatar tertegak ke atas dari tanah besar Saudi Arabia seperti sebiji kurma terletak di tepung yang sudah diuli.
Apa yang sama ialah Tanah Melayu dan Qatar dikelilingi sebahagian besarnya oleh laut. Qatar menunjal ke dalam Teluk Parsi sedangkan Tanah Melayu bermuncung ke Selat Melaka dan Selat Karimata.
Tiba-tiba Qatar bersikap seperti seorang petinju yang beratnya 50 kg di kelas ringan melepas tumbukan di kelas berat dalam kalangan mereka yang berat badan 80 kg.
Itu hanya satu perumpamaan. Mula-mula prestasi syarikat penerbangannya diminati meluas, justeru menguntungkan. Selain itu, pasukan-pasukan sukannya terutama bola, diperkuatkan.
Pencapaian di bumi Arab dan Asia menggalakkan kepimpinan bola mereka merebut posisi utama dalam badan-badan sukan antara bangsa.
Tiba-tiba saudagar minyaknya, Muhammad Hamman, mengalahkan Almarhum Sultan Ahmad, Pahang, sebagai Presiden AFC, Konfederasi Bola Asia.
Malaysia lantas tumpas di tangan Qatar sebagai bakal tuan rumah Sukan Asia 2006. Apabila berleluasa diperkatakan bahawa Qatar menang melalui rasuah besar, Hamman meletup marah, menafikan Qatar melakukan kekejian begitu.
Tatkala muak terlalu lama di kerusi AFC itu, Hamman menoleh pula ke kerusi ulung FIFA. Untuk ke matlamat itu, langkah pertama Hamman ialah memastikan Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.
Pencapaian itu penaka langit akan runtuh. Keraguan blok Barat ialah Qatar berjaya kerana merasuahkan ahli-ahli perwakilan FIFA yang miskin dari Afrika, Amerika Selatan dan Asia.
Kerimasan itu mengorbankan Sepp Blatter, Presiden FIFA, dan Michel Platini, eksekutif FIFA dan bekas bintang bola Perancis. Mereka dituduh sebagai pihak yang memudahkan Qatar.
Meskipun rasa pahit itu memendap seketika, ia timbul menyemarak semula apabila pesta agung bola itu tidak boleh diadakan di musim panas di Qatar (suhunya melebihi 40F). Ia dianjakkan ke musim sejuk, Disember 2022.
Ini menyebabkan kelam-kabut kepada jadual waktu pemain-pemain dan acara-acara permainan di Hemisfera Utara, dari AS, Eropah hingga ke Jepun.
Lagi pula, pemain-pemain di Hemisfera itu pada kebiasaannya tidak bermain dalam kepanasan seperti dalam kelangkasar (oven) di musim panas.
Pihak-pihak berkepentingan pun menyarankan Piala Dunia 2022 dipindahkan ke salah sebuah negara yang sudah sedia ada stadium-stadium dan kemudahan-kemudahan relevan, seperti England (kali akhir, 1966), AS, Sepanyol, Itali, Korea dan Jepun. Wallahualam.
Sebagai negara yang begitu kecil, Qatar dipercayai akan menyaksikan 33 buah stadium yang dibina khas itu menjadi gajah putih pasca Piala Dunia: tercongok di situ tetapi terbiar.
Selepas memperkatakan itu semua, kita jangan lupa Saudi Arabia dan sekutunya Mesir, UAE, Jordan, Bahrain dan beberapa buah negara lagi kini mengepung Qatar. Laluan udara dan laut disekat.
Namun persahabatannya dengan Iran, Turki, Pakistan dan Rusia di satu pihak dan ketegasan prinsip PPB di pihak yang lain, mengatasi pancaroba itu dalam satu keadaan sukar.
TV al-Jazeera milik Qatar yang diminati dunia dituntut tutup oleh Saudi Arabia dan Mesir kononnya menggalakkan keganasan dan fahaman Ikhwanul Muslimin.
Jelas sekali Diktator Tentera Jeneral Sisi di Mesir berganding bahu dengan Monarki Mutlak di Arab Saudi, disokong oleh negara-negara kecil Arab yang lain.
Kini wartawan al-Jazeera Mahmoud Hussein sudah ditahan oleh Mesir hampir tiga tahun tanpa tuduhan dan perbicaraan.
Benarlah seperti dikata: kuku besi takut kepada informasi sejati. Jangan sangka AS adalah kawan dalam semua cuaca. Tengok Iran, Iraq dan lain-lain.
Dari sini, kita melihat terbentuknya setiakawan Rusia, Iran, Turki, Pakistan, Syria dan Afghanistan sebagai benteng kepada agresif AS memecahbelah dunia Islam demi keselamatan Israel.
Qatar yang enggan mengikut telunjuk Arab Saudi menatang bahananya dengan penuh kegigihan.
TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.











