Kilang senjata purba berusia 10,000 tahun ditemui - Utusan Malaysia

Kilang senjata purba berusia 10,000 tahun ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU KOTELNY, Siberia – Sebuah kilang senjata berusia 10,000 tahun yang digunakan bagi menghasilkan senjata seperti lembing dan pisau daripada gading gajah mamot ditemui oleh pasukan penyelidik di Pulau Kotelny, Siberia, lapor akhbar Daily Mail.

Menurut ahli-ahli paleontologi, kilang purba itu ditemui bersebelahan bangkai seekor mamot dalam keadaan beku di pulau tersebut.

Pakar mamot dari Akademi Sains Yakutia yang memeriksa kilang senjata tersebut berkata, terdapat kesan pertukangan pada gading serta tulang rusuk bangkai gajah berkenaan, menandakan ia diburu oleh manusia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesan proses, mungkin oleh lelaki purba, ditemui pada cebisan gading gajah ini,” kata pakar berkenaan, Innokenty Pavlov kepada akhbar The Siberian Times.

Gading yang diukir itu mempunyai bahagian tajam yang sesuai digunakan untuk memotong daging serta dibuat senjata untuk membunuh. Terdapat contoh penggunaan gading yang dijadikan lembing di beberapa lokasi lain di Siberia.

“Keadaan gading itu jelas menunjukkan manusia memotongnya dan menjadikan ia sebagai senjata,” katanya.

Kajian lanjut akan dilakukan untuk mengetahui sama ada haiwan tersebut diburu menggunakan lembing yang dibuat daripada gading haiwan itu sendiri atau gajah lain.

“Kami akan menentukan usia gading gajah tersebut menggunakan teknik radio karbon tetapi buat masa ini, kita boleh katakan usianya tidak kurang dari 10,000 tahun,” kata Pavlov. 
- Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini