SHAH ALAM – Restoran Blu Coffee menyasarkan melantik 600 francais termasuk 30 di Lembah Klang.
Pengerusi Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM), Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama pintar dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi melantik ahli-ahlinya untuk menjadi pemegang francais.
Menurutnya, bermodalkan RM80,000 pemegang francais boleh memulakan perniagaan berkonsep karavan dan diberi panduan serta produk kopi bertaraf antarabangsa.
“Blu Coffee adalah produk baharu yang kita ingin perkenalkan dalam kalangan usahawan dan bakal usahawan termasuk koperasi di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar mengenai projek terbaharu DEUM di sini, baru-baru ini.
Yang hadir sama ialah Pengasas Blu Coffee, Shen Set Ho; Pengarah Urusan Blu Coffee, Isabelle Nah dan Ketua Pengarah World Class Business, Datuk Seri Ahmad Kushairi Bani Hashim.
Dalam pada itu, Khairul Khuzaini memberitahu, Blu Coffee bakal memperkenalkan transaksi perniagaan tanpa tunai sepenuhnya di negara ini. – UTUSAN ONLINE











