KUALA LUMPUR – Hasrat SMK Mutiara Impian untuk mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam empat perlawanan tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada SMK Tunku Anum dalam Liga 100PLUS-Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun di Alor Setar, hujung minggu lalu.
Kedua-dua jaringan terhasil pada kedua-dua babak menerusi Muhd. Azlan Azmi minit ketujuh dan gol sendiri pemain lawan, Muhd. Danish Isyraf Mohd. Zamri (m61), sementara SMK Mutiara Impian memperoleh gol saguhati menerusi Muhd. Faris FIzri Azrimas di penghujung perlawanan.
Kemenangan ini bagaimanapun tidak megubah kedudukan kedua-dua pasukan, yang mana SMK Tunku Anum kekal di tangga ketiga, dibezakan dua mata dengan SMK Mutiara Impian yang menghuni tangga kedua manakala Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) A kekal menerajui Liga Super.
Di Ipoh, SMK Zaaba bangkit daripada ketinggalan untuk menang ke atas tuan rumah, SMK Gunung Rapat 4-2, sekali gus merekodkan kemenangan kedua selepas empat perlawanan.
Alif Ilham Ahamd Faizul meletakkan tuan rumah di depan seawall minit kelima dan minit 64, namun pelawat bangkit dengan empat gol pada babak kedua.
Muhd. Shahril Haizat menyamakan kedudukan (m39), sebelum Iyad Hadi Hakimi meletakkan SMK Zaaba di depan 2-1 berselang 10 minit kemudian.
Dua gol dalam tempoh 11 minit oleh Muhd. Shazarul Eimann Shahrom (m53) dan Syed Jaafar Muzakir Syed Ali (m64) menambah lagi duka tuan rumah yang masih buntu mencari kemenangan sulung.
“Saya sentiasa tekankan kepada pemain, percaya dengan apa yang telah dilakukan ketika latihan.
“Ketinggalan satu gol tidak mengapa kerana keyakinan mereka kembali selepas berjaya menjaringkan gol,” kata Jurulatih SMK Zaaba, Baharom Tahir.
SMK Zaaba naik dua anak tangga ke kedudukan keempat, berkongsi tujuh mata dengan SMK Tunku Anum.
Dalam pada itu, SMK Seberang Temerloh terikat 1-1 dengan SMK Bukit Nenas, sekali gus turun ke kedudukan kelima dengan lima mata.
Aksi Liga Perdana menyaksikan SSMP B menang besar 5-1 ke atas SMK Anderson untuk kekal di tangga teratas dengan 16 mata.
SSMP B hanya berkelebihan dua mata di depan SMK Putera yang melakar kemenangan 2-0 ke atas MSS Labuan.
Saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 Tahun diungguli SMK Seberang Temerloh yang menerajui Liga Super selepas empat perlawanan dengan 10 mata.
SMK Seri Titiwangsa mengekori rapat dengan lapan mata untuk berada di tangga kedua sementara dua pasukan, SMK Presint 14 (1) dan SMK Meru masing masing menghuni tangga ketiga dan keempat, berkongsi tujuh mata.
Saingan Liga Perdana diterajui SMK Seksyen 11 dengan 13 mata, satu mata mengatasi dua pasukan – SMK Ibrahim Fikri dan SMK Victoria yang berkongsi 12 mata. – UTUSAN ONLINE
KEPUTUSAN (bawah 14)
SMK Tunku Anum 2 SMK Mutiara Impian 1
SMK Seberang Temerloh 1 SMK Bukit Nenas 1
SMK Gunung Rapat 2 SMK Zaaba 4
SMK Seri Titiwangsa 4 SMK Tabuan Jaya 0











