Wasiyyah Shoppe teroka pasaran Sabah - Utusan Malaysia

Wasiyyah Shoppe teroka pasaran Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jun – Wasiyyah Shoppe Bhd. berhasrat meneroka pasaran Sabah bagi meluaskan tawaran perkhidmatannya selepas menerima permintaan tinggi daripada penduduk di negeri tersebut.

Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berkata, namun begitu, pihak­nya memerlukan sedikit masa untuk mengkaji beberapa aspek pelaksanaan proses pengurusan pusaka kerana terdapat perbezaan di antara proses di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Katanya, pihaknya menjangkakan Wasiyyah Shoppe akan mula beroperasi sepenuhnya sebelum penghujung 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesedaran mengenai kepentingan perancangan harta secara syariah semakin lama semakin baik dalam kalangan masyarakat termasuk penduduk di Sabah.

“Kami merasakan ini waktu yang tepat untuk mengembangkan perkhidmatan kami di sana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wasiyyah Shoppe merupakan syarikat amanah patuh syariah dan peneraju di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia dan telah beroperasi sejak 2004.

Ariffin berkata, bagi mendapatkan panduan lebih jelas tentang situasi di Sabah, delegasi Wasiyyah Shoppe yang disertai Pengerusi Panel Syariah, Datuk Seri Dr. Yusup Che Teh telah melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak ­Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar pada 18 Jun lepas.

Beliau berkata, pertemuan itu turut disertai oleh wakil Perbadanan Baitulmal Sabah iaitu Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid dan Pengurus Besarnya, Salman Nurillah.

“Kami bersyukur kerana Kerajaan Negeri Sabah me­ngalu-alukan hasrat Wasiyyah Shoppe untuk memulakan operasi di sini dan memberi per­khidmatan perancangan harta dan pengurusan pusaka secara syariah kepada rakyat Sabah.

“Dengan kerjasama bersama Perbadanan Baitulmal Sabah dan pelaksanaan sistem dalam talian, kami yakin mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Wasiyyah Shoppe seterusnya menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatannya di Sarawak sebelum penghujung 2019 sekali gus melengkapkan kehadirannya di seluruh Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini