BERLIN – Bintang bola sepak wanita Jerman dan Olympique Lyon, Dzsenifer Marozsan bersedia untuk kembali ke pangkuan pasukannya pada Piala Dunia, menjelang pertembungan dengan Sweden pada suku akhir, Ahad ini, selepas pemain itu tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan terdahulu kerana jari kakinya yang patah, kata jurulatih, Martina Voss-Tecklenburg, hari ini.
Pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan patah jari kaki dalam aksi pembukaan yang menyaksikan Jerman menang 1-0 ke atas China dan masalah itu telah mencetuskan kebimbangan bahawa dia mungkin terlepas kesemua baki perlawanan pada pertandingan tersebut di Perancis.
Bagaimanapun, pada sidang akhbar, hari ini, jurulatih, Voss-Tecklenburg berkata, Marozsan sangat optimis akan dapat kembali bermain pada suku akhir.
“Kami mungkin akan membuat keputusan pada hari perlawanan sama ada Dzsenifer boleh beraksi dalam awal permainan atau kami membawanya masuk ketika perlawanan sedang berlangsung,” kata Voss-Tecklenburg, 51.
Marozsan kembali menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaannya, minggu lalu, dan pernah dipertimbangkan untuk bermain sewaktu Jerman melakar kemenangan 3-0 ke atas Nigeria pada pusingan kedua.
“Saya memberitahu jurulatih bahawa saya bersedia untuk diturunkan, tetapi lebih bagus jika saya tidak bermain. Lebih banyak masa saya berehat, proses penyembuhan jari kaki saya juga akan lebih baik,” katanya.
Marozsan telah menjaringkan 32 gol dalam 91 penampilannya bersama Jerman, dan memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara UEFA bersama Lyon. Musim lalu, dia dipilih sebagai pemain terbaik dalam Divisyen 1 Bola Sepak Wanita Perancis. – AFP











