Belajar ilmu saham lebih-lebih lagi tentang analisis teknikal ialah untuk mengetahui bilakah pasaran bakal jatuh atau naik.
Ini termasuk pada harga berapa sesuatu saham syarikat tersenarai itu boleh dibeli dan dijual.
Banyak ilmu terkandung di dalam skop analisis teknikal tetapi memadai untuk mengaplikasi ilmu yang sesuai dengan suasana bursa tempatan.
Pelabur dan pedagang saham tempatan tidak perlu mengetahui dengan lebih mendalam dan terperinci ilmu-ilmu analisis teknikal berbanding sekiranya terlibat di dalam urus niaga di pasaran global atau di bursa asing.
Untuk meramal turun atau naik indeks pasaran mahupun saham-saham syarikat tersenarai boleh menggunakan indikator atau osilator analisis teknikal. Daripada pembacaan carta saham, batang lilin Jepun, corak carta dan sebagainya, pelabur dan pedagang saham boleh menjangkakan sesuatu saham syarikat tersenarai itu bakal jatuh atau naik.
Di samping itu juga, terdapat faktor-faktor selain analisis teknikal yang membantu para pelabur dan pedagang saham membuat ramalan tentang sesuatu kejatuhan mahupun kenaikan.
Faktor-faktor ini banyak diterangkan di ruangan yang lepas-lepas di kolum ini. Sebagai tambahan, pelabur dan pedagang saham perlu peka tentang bulan-bulan kejatuhan pasaran saham atau bearish termasuk juga pasaran menaik atau bullish.
Waktu sesuai
Dengan mengingati bulan-bulan negatif dan positif, pelabur dapat membuat keputusan bilakah waktu sesuai untuk membeli saham dan menjual pegangan saham.
Kaedah ini amat sesuai sekali digunakan oleh orang-orang yang tidak mempunyai banyak masa memerhatikan turun naik pasaran, tidak mempunyai banyak masa membuat kajian saham, sentiasa sibuk dengan urusan peribadi dan tidak dapat memantau portfolio pelaburan terlalu kerap.
Pengetahuan tentang analisis teknikal seperti penggunaan indikator dan osilator untuk membuat kajian saham digabung bersama faktor-faktor luaran merupakan satu tindakan yang bijak dan lebih tenang.
Pelabur jangka sederhana dengan kaedah atau teknik yang baik mampu membeli saham-saham pada harga rendah dan menjualnya pada harga tinggi. Peratusan untuk untung lebih tinggi dengan cara ini.
Keadaan ini juga disebabkan oleh perubahan yang berlaku ke atas tempoh penyelesaian dari T+3 kepada T+2. Oleh itu, pendekatan beli dan tunggu sehingga harga saham naik dan menjualnya pada harga tertinggi atau harga maksimum lebih baik daripada membuat urus niaga harian atau kontra lebih-lebih lagi dalam keadaan pasaran ketiadaan petunjuk positif.
Ini kerana pedagang saham yang ingin melakukan urus niaga kontra perlu lebih kerap melihat pergerakan saham dan sentiasa membuat kajian saham.
Sekiranya pedagang saham itu merupakan pedagang harian atau intra-hari, maka dia perlu membuat kajian saham secara kerap atau setiap hari. Risikonya di sini, pasaran saham tidak naik setiap hari walaupun setiap hari terdapat kaunter-kaunter naik.
Modal terlalu kecil
Pedagang saham yang mempunyai modal terlalu kecil contohnya kurang daripada RM5,000 adalah golongan tidak sesuai membuat urus niaga kontra. Mereka juga sukar untuk mempelbagaikan pegangan saham kerana modal yang terlalu kecil hanya terhad membeli satu jenis saham syarikat tersenarai sahaja.
Di samping itu, peluang untuk mendapat saham IPO melalui penawaran terbitan permulaan juga amat tipis. Jika berjaya, kemungkinan jumlah lot saham yang diperoleh itu juga sedikit dan menyukarkan pelabur untuk menjualnya sekiranya pada hari penyenaraian harga saham IPO tersebut naik dengan kadar kecil.
Pelabur perlu menunggu untuk tempoh lebih lama lagi jika membeli dengan modal yang kecil.
Berbalik kepada persoalan tentang perlunya seseorang itu ketahui bilakah pasaran akan naik atau jatuh ialah kerana perkara-perkara berikut:
- Untuk membuat persediaan waktu atau harga yang sesuai membeli saham syarikat tersenarai. Pelabur tentu telah mempunyai senarai pendek saham-saham syarikat tersenarai yang ingin dibeli
- Menunggu masa sesuai untuk melepaskan pegangan sebelum pasaran jatuh. Juga, menunggu masa terbaik untuk menjual dan mendapat untung besar dengan menjual ketika harga sedang naik maksimum
- Melepaskan pegangan saham sebelum pasaran jatuh. Ini bertujuan membeli semula pada harga lebih rendah atau lebih murah ketika pasaran jatuh teruk
Seminar Pasaran Modal Utusan akan diadakan pada 28 Julai 2019. Sila hubungi talian 010-836 0826 atau 013-310 8156.











