MADRID – Neymar bersedia gajinya dipotong sebanyak 12 juta euro (RM59 juta) untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) yang merupakan sebahagian daripada ‘perjanjian lisan’ yang dicapai antara bintang antarabangsa Brazil itu dengan Barcelona, menurut laporan media Sepanyol.
PSG masih belum memberi kebenaran untuk menjual bintang penyerang mereka itu, yang dibeli dengan yuran perpindahan memecah rekod dunia sebanyak 222 juta euro (RM1.04 bilion) dari Barca hanya dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Neymar dilapor menunjukkan kesungguhan untuk pulang ke Sepanyol dan Barcelona bersedia menerimanya kembali, dengan akhbar sukan Sepanyol, Diario Sport mendakwa persetujuan telahpun dicapai bagi menandatangani kontrak selama lima tahun.
Akhbar itu melaporkan, syarat perjanjian termasuk mengurangkan gaji Neymar dari sekitar 36 juta euro (RM169 juta) di PSG kepada 24 juta euro (RM113 juta) yang diterimanya di Barca pada 2017, dan menggugurkan kes mahkamah bernilai 26 juta euro (RM122 juta) terhadap kelab Catalan itu.
Akhbar sukan Barcelona, Mundo Deportivo turut melaporkan Neymar juga perlu membuat permohonan maaf kepada peminat ekoran tingkah lakunya sewaktu meninggalkan kelab. – AFP











