KOTA BHARU – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tampak serius menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila mengadakan kunjungan ke pejabat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Putrajaya hari ini.
Sumber rapat dengan pejabat Tan Sri Rashid berkata, pertemuan itu turut membincangkan hasrat tokoh berkenaan menawarkan diri untuk menerajui Kafa.
“Pertemuan itu, asalnya untuk membincangkan soal penglibatan golongan belia dalam pilihan raya. Namun perkembangan bola sepak Kelantan turut diperkatakan secara santai,” katanya di sini hari ini.
Sumber memberitahu, Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu itu dilihat cukup bersemangat untuk membantu memulihkan semula Kafa.
Katanya, Abdul Rashid juga sedang meneliti hutang Kafa dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut bagi memastikan Kelantan bebas daripada masalah itu.
“Apa yang ditunjukkan oleh Abdul Rashid ini jelas menunjukkan ‘keghairahan’ beliau untuk menyelamatkan Kafa. Bagi saya amatlah rugi jika tokoh seperti ini tidak diangkat sebagai calon Presiden Kafa,” ujarnya.
Tambahnya, kredibiliti Abdul Rashid tidak perlu dipertikai kerana beliau cukup masak dengan ilmu pengurusan dan tidak berdepan masalah untuk mendapatkan dana berpandukan kepada pengalamannya. – UTUSAN ONLINE











