Nasib legenda Selangor terbela - Utusan Malaysia

Nasib legenda Selangor terbela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pendedahan Utusan Malaysia pada 1 Jun lalu mengenai ke­sempitan hidup legenda bola sepak Selangor, Zapril Hashim setelah jari kakinya dipotong kerana kencing manis, mendapat perhatian kerajaan negeri yang akan menyumbangkan sebuah unit Rumah Warga Emas di Klang kepadanya.

Sumbangan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Khairuddin Othman ketika melawat bekas sayap kanan Merah Kuning itu di rumah sewanya di sebuah bangunan rumah kedai di ibu kota hari ini.

“Hari ini saya mewakili kerajaan Selangor, turun menziarahi Zapril untuk memastikan kebajikan bekas atlet yang pernah berjasa, membawa bendera dan menyarung jersi Selangor, dijaga dan dilihat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tidak mahu kehidupan legenda bola sepak sepertinya terabai dan inilah isyarat kepada masyarakat bahawa kebajikan mereka sentiasa diambil berat walaupun selepas berakhirnya karier sukan mereka, ” katanya.

Khairuddin menambah, kerajaan Selangor juga akan sentiasa bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam mencari mana-mana bekas atlet negeri itu yang senasib Zapril dan berharap mereka yang terbabit, berhubung dengan yayasan itu.

“Zapril tidak perlu turun tangga lagi untuk keluar rumah seperti sekarang bagi urusan rawatan susulan di hospital. Kami juga berikan bantuan kewangan. Tidak kisah kalau mereka tidak berpeluang mewakili pasukan negara, asalkan pernah menyarung jersi Selangor, mereka akan jadi urusan kami,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Ketua Jabatan Lembaga Zakat Sela­ngor, Samsuri Ashaari.

Sepanjang karier bersama Merah Kuning dari 1978 hingga 1986, Zapril, 61, pernah membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 1979, 1981, 1982, 1984 dan 1986 termasuk trebel (liga dan Piala Malaysia serta Piala Sumbangsih 1984-85).

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Khairuddin dan kerajaan Selangor kerana menolong saya dalam keadaan begini.

“Dulu selepas saya menang Piala Malaysia, ada juga seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Selangor berjanji untuk membantu mendapatkan rumah tetapi tiada sampai sekarang.

“Harap-harap lebih ramai (bekas pemain Selangor senasibnya) yang boleh dibantu lagi,” katanya.

Zapril merupakan pemain seangkatan le­genda Sela­ngor dan Malaysia, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R. Arumugam serta Datuk Santokh Singh.

Tiga jari kaki kanan Zapril dipotong di Hospital Ampang, Selangor pada 25 Mei lalu bagi mengelak jangkitan penyakit kencing manisnya dan dia kini menjalani rawatan susulan tiga kali seminggu dengan berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini