BERLIN – Dua butir bom daripada era Perang Dunia Kedua ditemui kelmarin di tengah-tengah Jerman di sebuah pekan di utara Frankfurt, sehingga memaksa kira-kira 2,500 penduduk diarahkan pindah sementara, kata pihak polis tempatan.
Bom tentera Jerman seberat 250 kilogram (kg) dan bom tentera Amerika Syarikat (AS) seberat 50kg ditemui berdekatan satu sama lain di satu zon perindustrian di pekan Giessen, negeri Hesse.
Polis memaklumkan bom tentera Jerman itu akan diletupkan kerana ia sudah rosak teruk untuk dimatikan manakala bom tentera AS dapat dimatikan secara selamat.
Kira-kira 2,500 penduduk termasuk 800 orang pelarian di sebuah pusat penempatan dipindahkan buat sementara waktu sebelum kerja-kerja melupuskan bom itu dijalankan, tambah polis.
Hampir 75 tahun sejak perang dunia itu berakhir, Jerman masih dipenuhi dengan bom-bom lama yang belum meletup akibat peninggalan pengeboman besar-besaran Tentera Bersekutu ke atas Tentera Nazi Jerman.
Pada Ahad lalu, sebutir lagi bom yang mungkin daripada zaman Perang Dunia Kedua meletup di sebuah padang di barat Jerman sehingga meninggalkan satu kawah besar tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Awal bulan ini, sebuah bom tentera AS seberat 100kg dari zaman perang sama ditemui ketika kerja-kerja pembinaan berdekatan sebuah pusat beli-belah di pusat bandar Berlin. Bom itu dimatikan selepas kira-kira 3,000 orang dipindahkan dari kawasan tersebut.
Menurut pakar, 10 peratus daripada berjuta-juta bom yang dijatuhkan dalam wilayah Jerman semasa perang tersebut masih belum meletup. – AFP











