KEMAMAN – Lima individu ditahan dipercayai terlibat dalam kes judi loteri awam dan judi online tanpa lesen dalam dua serbuan di sekitar daerah ini, Ahad lalu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kesemua individu tersebut berusia antara 49 hingga 71 tahun.
Katanya, mereka ditahan dalam Op Dadu Khas oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman antara pukul 2 petang hingga 3 petang.
“Polis turut merampas dua buah telefon bimbit jenis Vivo dan Nokia, sebuah pencetak bersama slip yang terdapat catatan dan angka-angka, enam keping kertas putih bercetak angka-angka, dua keping kertas yang terdapat nombor ramalan dan wang tunai berjumlah RM206,” katanya di sini.
Menurut Mohd. Said, suspek direman selama empat hari sehingga esok.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. – UTUSAN ONLINE











