MONTEVIDEO – Ketua mafia Itali, Rocco Morabito, 52, berjaya meloloskan diri daripada sebuah penjara di sini pada Ahad lalu, di mana dia sedang menunggu proses ekstradisi ke Itali, menurut Kementerian Dalam Negeri Uruguay dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Morabito bersama tiga banduan lain berjaya melarikan diri melalui satu lubang pada bumbung sebuah pusat tahanan polis lewat malam Ahad lalu sebelum merompak penghuni sebuah rumah berdekatan, menurut kementerian sama.
Kenyataan itu memaklumkan Morabito, salah seorang ketua kumpulan Ndrangheta yang ditahan di Uruguay pada 2017 selepas berpuluh-puluh tahun hidup dalam pelarian, sedang menunggu untuk dihantar pulang bagi berdepan pertuduhan ‘pengedaran dadah antarabangsa’.
Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini dilaporkan berang dengan berita yang ‘serius’ dan ‘membingungkan’ itu.
“Saya sudah membuat dua komitmen, pertama untuk merungkai bagaimana dia boleh bolos dengan mendapatkan penjelasan segera daripada kerajaan Montevideo. Kemudian, kami akan meneruskan pemburuan Morabito, di mana sahaja dia berada,” tegas Salvini.
Morabito, digelar ‘raja kokain’, sudah lama hidup dalam pelarian dan menjadi antara penjenayah paling dikehendaki di Itali sebelum berjaya ditangkap di sebuah hotel di bandar ini dua tahun lalu.
Peguamnya memberitahu wartawan bahawa ketika itu anak guamnya tinggal di hotel berkenaan sementara mencari sebuah pangsapuri baharu selepas berpisah dengan isterinya.
Sewaktu ditahan, Morabito ditemui bersama 13 buah telefon bimbit, beberapa dokumen pengenalan diri, sejumlah besar wang tunai dan sepucuk pistol automatik 9 milimeter. – AFP











