KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) terpaksa melupakan hasrat menggunakan khidmat Luis Gustavo Camilo selepas rayuan kali kedua berhubung sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain pertahanan import baharu itu ditolak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, alasan utama penolakan tersebut ialah kelewatan pihaknya melakukan pendaftaran iaitu 30 saat selepas Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) ditutup pada hujung bulan lalu.
“Bagi pihak PBSNT, saya memohon maaf kepada semua penyokong TFC kerana gagal menyempurnakan hasrat melihat Camilo beraksi untuk pasukan.
“Begitupun, kami akan membuat permohonan khas kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi mendaftar pemain yang mempunyai ITC di Malaysia pada masa terdekat bagi mengatasi masalah berbangkit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, pengendali sementara TFC, Mohd. Nafuzi Zain tidak mahu memeningkan kepala memikirkan kemelut pemain import baharu itu sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada barisan pemain sedia ada dalam menghadapi saingan dengan Kuala Lumpur esok di laman sendiri.
Beliau sekali gus menyerahkan isu perpindahan Camilo kepada pengurusan PBSNT bagaimanapun, mengakui kekurangan seorang pemain import di dalam skuad Penyu yang kini hanya tinggal empat orang sedikit sebanyak membataskan keupayaan anak buahnya.
“Apa yang penting, saya telah menyiapkan pasukan untuk menghadapi Kuala Lumpur di laman sendiri (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut Mohd. Nafuzi, ketiadaan beberapa beberapa pemain tempatan dalam skuad utama seperti Abdul Malik Mat Ariff, Mohamad Ashari Samsudin dan Nasrullah Haniff Johan yang masih dibelenggu masalah kecederaan mendorongnya mengubah taktikal pasukan.
Justeru, fokus pemain amat dituntut dalam aksi itu dan dalam masa sama mengatasi kelemahan terutama taktik bola mati sewaktu tewas 1-3 ketika menentang Perak tempoh hari.
“Kehadiran semula ketua pasukan, Lee Andrew Tuck yang juga pemain utama TFC bakal memperkuatkan semula jentera tengah kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE










