ISKANDAR PUTERI – Gleneagles Medini Hospital (Gleneagles Medini) melancarkan Pusat Kanser hospital berkenaan bernilai RM25 juta sekali gus bakal menyediakan perkhidmatan rawatan kanser yang komprehensif untuk pesakit di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Francois Naa berkata, pusat tersebut dilengkapi dengan Radioterapi Elekta Synergy terkini dengan sistem C-RAD yang menawarkan Terapi Radiasi Konformal 3-Dimensi (3DRT), Radiasi Termodulasi Intensiti (IMRT) dan Terapi Arc Volumetrik (VMAT).
Menurutnya, dengan inovasi teknologi canggih itu akan menjadikan rawatan lebih tepat, jitu dan pantas dengan dos radiasi yang lebih rendah supaya pesakit boleh meneruskan rutin harian dengan cepat di samping mempertingkatkan mutu kehidupan mereka keseluruhannya.
“Sejak mula beroperasi pada hujung tahun 2015, Gleneagles Medini telah mengorak langkah menjadi penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini yang mampu memberikan pengalaman pesakit serta hasil klinikal terbaik bagi pesakit kami.
“Kami berazam untuk mempertingkatkan lagi piawaian dalam penyediaan penjagaan kesihatan bagi memenuhi standard tinggi selaras dengan jenama Gleneagles kami yang berprestij,” katanya berucap dalam majlis perasmian pusat kanser itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.
Jean-Francois berkata, dengan pusat kanser baharu itu juga diharap dapat meneruskan usaha dan objektif hospital untuk memastikan para pesakit mendapat penjagaan kesihatan yang terbaik sekali gus mampu merancakkan bidang pelancongan kesihatan di negeri ini.
Itu juga, tambahnya, selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan Johor sebagai hab rawatan perubatan terbaik di rantau ini. -UTUSAN ONLINE











