CIDB pergiat operasi bersepadu - Utusan Malaysia

CIDB pergiat operasi bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan terus melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) dalam memastikan kualiti dan tahap keselamatan di tapak pembinaan berada di tahap terbaik.

Ketua eksekutifnya, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, bagi statistik dari Januari hingga Mei 2019, sebanyak 629 kertas siasatan dibuka melibatkan 15 operasi bersepadu dan empat operasi khas di 1,347 tapak premis di seluruh negara.

“2,611 notis sudah dikeluarkan kepada mereka yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul dan gagal menyediakan dokumentasi pengurusan pembinaan yang lengkap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk rekod tahun lepas sahaja, sebanyak 4,676 notis dikeluarkan dan 1,068 kertas siasatan dibuka melibatkan 16 prosiding tatatertib serta 135 tindakan tatatertib dikenakan,” katanya pada sidang akhbar selepas melaksanakan operasi tersebut di sebuah tapak pembinaan kawasan perumahan di sekitar Putrajaya, di sini hari ini. 

Ahmad ‘Asri mendakwa, pada tahun yang sama, pihaknya telah mengenakan kompaun sebanyak RM 3 juta serta penalti sebanyak RM 1 juta kepada beberapa syarikat pembinaan di seluruh negara yang didapati melanggar Akta 520. 

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, operasi tersebut bertujuan untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan akta serta peraturan yang berkaitan dalam industri pembinaan negara terutamanya Akta 520 CIDB. 

“Antara skop yang difokuskan ialah Pendaftaran Kontraktor (Seksyen 25), Pendaftaran Personel Binaan (Seksyen 33), Akreditasi Personel Binaan (Seksyen 33A), Pengesahan Bahan Binaan (Seksyen 33C (1) dan Pengisytiharan Projek (Seksyen 34).

“Kerjasama dengan agensi kerajaan juga penting bagi memastikan aspek-aspek seperti implikasi pembinaan terhadap alam sekitar serta tahap kesihatan penduduk setempat terkawal,” tambahnya.

Sebanyak enam agensi lain melibatkan 118 anggota dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia turut serta dalam operasi bersepadu tersebut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini