TNBR tawar dimensi baru pengecasan kenderaan - Utusan Malaysia

TNBR tawar dimensi baru pengecasan kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia sentiasa memberi komitmen dalam penjagaan alam sekitar khususnya bagi membendung masalah pencemaran.

Komitmen tersebut terbukti dinyatakan dalam Perjanjian Paris. Walaupun negara ini cuma menyumbang 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelepasan gas rumah ijau berbanding Amerika Syarikat (18 peratus) dan China (20 peratus), Malaysia menyasarkan pengurangan 45 peratus menjelang 2030 dengan 10 peratus daripadanya bersyarat.

Syarat tersebut adalah berlaku pemindahan teknologi dan penerimaan bantuan kewangan dari negara maju.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

Perjanjian Paris yang dikuat kuasa secara rasmi pada 2016 merupakan komitmen Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim dan ia bukanlah satu-satunya kesepakatan pertama negara berkaitan isu perubahan iklim yang dimeterai setakat ini.

Pada 1992 Malaysia sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menjayakan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dengan tujuan menstabilkan pelepasan gas rumah hijau bagi menghalang ia memberi kesan kepada sistem iklim sejagat dan mendatangkan mudarat.

Komitmen Malaysia seterusnya diterjemahkan lagi pada 1997 menerusi Protokol Kyoto yang bernaung di bawah UNFCCC. Menerusi protokol ini, Malaysia berikrar membendung pengeluaran gas karbon dioksida. Walaupun Protokol ini tidak mengikat secara mandatori, sebagai negara yang bertanggungjawab Malaysia secara sukarela meletak sasaran pengurangan intensiti karbon sehingga 40 peratus menjelang 2020 berbanding 2005.

Dalam pada itu, ketika Persidangan Ke-21 Negara Parti (COP21), Perjanjian Paris dirundingkan bagi menggantikan Protokol Kyoto yang akan tamat sasarannya pada 2020.

Pemeteraian Perjanjian Paris amat bersejarah kerana buat julung kali negara dunia bersepakat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau agar kenaikan suhu global berada di bawah dua darjah Celsius dan mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5 darjah.

 

Inilah isunya yang dihadapi oleh hampir semua negara di dunia, tetapi apakah jaminan untuk mengurangkan pelepasan gas itu dapat dicapai. Ini kerana pelepasan gas itu berpunca daripada aktiviti manusia termasuk pembangunan industri dan pertambahan jumlah kenderaan

Industri pengangkutan berdepan dengan cabaran apabila dikategorikan sebagai penyumbang terbesar kepada pelepasan gas karbon dioksida di negara ini.

Masalah ini sebenarnya sudah dibincangkan sejak sekian lama di serata dunia apabila masyarakat semakin sedar mengenai masalah gas rumah hijau dan penipisan lapisan ozon.

Dengan masalah gas rumah hijau yang semakin membimbangkan, banyak langkah proaktif diambil bertujuan mengurangkan kesannya kepada alam sekitar.

Antara yang difikirkan adalah mengurangkannya dan dalam masa sama menggunakan bahan api alternatif yang tidak menjana karbon. Penggunaan bahan api fosil seperti minyak antara puncanya, tetapi apakah alternatif yang ada. Polisi tenaga perlu diperbaharui dan diperkasa supaya Malaysia tidak terlalu bergantung kepada petroleum sebagai sumber tenaga pada masa akan datang.

Dengan tenaga nuklear juga berdepan masalah tertentu, tenaga biomas dan tenaga solar pula memerlukan kos, maka penggunaan tenaga untuk kenderaan mungkin bergantung kepada sama ada biomas atau elektrik.

Justeru, banyak pihak semakin sedar kenderaan hibrid atau elektrik adaah pilihan terbaik, bukan sahaja ia tidak mencemarkan alam. malah lebih kos efektif.

Kajian mengenainya pun sudah lama dimulakan kerana kelihatan inilah cara terbaik menjadi industri pengangkutan lebih lestari.

Difahamkan, langkah ke arah itu menjadi keutamaan kerajaan termasuk antaranya sasaran yang pernah disebutkan sebelum ini iaitu 100,000 kenderaan elektrik di jalan raya, skuter elektrik (100,000) , bas (2,000) dan terdapat 125,000 stesen pengecasan elektrik.

Ketika ini dikatakan ada hanya 234 stesen sumpama itu. Bergerak sejajar dengan hasrat mempromosi penggunaan kenderaan elektrik TNBR sudah memulakan penyelidikan berkaitan dengan menyediakan fasiliti Peralatan Bekalan Kenderaam Elektrik Arus Terus (EVSE).

Satu set sistem pengecasan pantas (Fast Charging station) telah dipasang di ruang parkir pekarangan syarikat berkenaan yang mendapat bekalan daripada tenaga solar menerusi panel fotovoltaik Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan grid.

Istimewanya kemudahan EVSE di TNBR adalah sistem pengesan pantas yang dihubungkan dengan tenaga boleh diperbaharu (RE) dan sistem penyimpanan tenaga yang pertama seumpamanya di negara ini.

Kebanyakan sistem sedia ada di negara ini merupakan pengecasan biasa atau perlahan iaitu tempoh masa pengecasan boleh mengambil masa sehingga 12 jam. Sistem pengecas pantas di TNBR boleh mengecas sehingga 80 peratus bateri kereta elektrik Nissan Leaf dalam tempoh kurang 30 minit.

Projek EVSE dimulakan oleh TNBR bermula pada 8 November 2016 dan tamat pada 8 Januari 2018.

Menurut Ketua Unit Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Hijau TNBR, Ir. Noraziah Muda (gambar), ketika itu projek berkenaan melibatkan kos RM2 juta meliputi pemasangan satu unit sistem pengecasan cepat, bekalan tenaga solar, sistem penyimpan tenaga bateri dan pembelian sebuah kereta elektrik.

“Tujuan projek ini untuk mengkaji impak pengecasan pantas kepada rangkaian voltan rendah (LV) menggunakan data sebenar TNB serta mencari reka bentuk optimum bagi mengintegrasikannya dengan RE iaitu tenaga solar

EVSE dan BESS di negara ini,” ujarnya.

Penyelidikan tersebut juga bertujuan memastikan kelestarian pelaksanaan kenderaan elektrik dengan memastikan sumber tenaga yang digunakan untuk pengecasan adalah daripada sumber hijau.

Sistem tersebut menggunakan solar panel monocrystalline (24.1 kWp), bateri jenis Lithium ion (62.4 kilowatt sejam dan stesen pengecasan pantas arus terus (DC) 50kW, 125 ampere (A).

Pada masa akan datang pihaknya menyasarkan sebagai pusat pengujian utama bagi stesen pengecasan pantas kenderaan elektrik di negara ini serta menyediakan pelabuh (port) kenderaan solar dan perkhidmatan reka bentuk BESS dan menawarkan perkhidmatan pemasangan EVSE.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, projek tersebut berpotensi untuk dimajukan dengan meneroka bidang-bidang berkaitan.

Beliau berkata, antara aspek yang boleh diteroka dalam pembangunan EVSE pantas di negara ini adalah kesalinghubungan antara garis panduan keselamatan dan EVSE.

Aspek lain termasuk kajian kemungkinan menggantikan kenderaan konvensional TNB kepada kenderaan elektrik.

Dalam pada itu, dua syor dari Sirim Berhad dilihat amat baik iaitu penukaran kenderaan kepada antara muka komunikasi grid serta kajian sistem pemindahan kuasa wayarles kenderaan elektrik.

Menurut Noraziah lagi, pihaknya sedang dalam kajian mencari impak pada grid TNB apabila menggunakan sistem pengecasan pantas tersebut kerana ia merupakan satu sistem bervoltan tinggi.

Kajian tersebut penting sama ada terdapat gangguan pada grid jika menggunakan sistem pengecasan pantas.

Dari kajian itu juga, langkah penambahbaikan terhadap sistem pengecasan pantas yang diintegrasikan dengan RE dapat dikenal pasti bagi mengurangkan impak terhadap grid kuasa.

Sebagai contoh dalam sebuah taman perumahan, berapakah sistem pengecasan pantas EVSE yang boleh dipasang di kawasan tersebut tanpa perlu pengubahsuaian atau penambahbaikan kepada transformer dan kabel TNB sedia ada.

“Kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti potensi untuk memasang sistem pengecasan pantas ini di sekitar Putrajaya yang menggunakan rangkaian komersial data TNB.

“Antara 10 hingga 15 set EVSE boleh dipasang tetapi kena pastikan sama ada transformer yang ada mampu menampungnya atau perlu kepada penambahbaikan,” ujarnya lagi.

Beliau memberitahu, pihaknya dan Malaysian Greentech Corporation (Greentech) menjalankan kajian berkaitan penghantaran elektrik daripada kenderaan kepada grid (vehicle to grid-V2G) iaitu satu sistem aliran dua arah (bi-directional flow) tenaga elektrik antara kenderaan dan grid elektrik tersebut.

Konsep V2G akan menjadi saingan kepada penjanaaan tenaga konvesional dan konsep penyimpanan tenaga elektrik secara kekal tidak lagi berlaku.

Sebaliknya kenderaan elektrik boleh dianggap sebagai penyimpan tenaga mudah alih yang boleh disalurkan ke grid nasional.

“(Malah) pada masa akan datang pengguna kenderaan elektrik boleh menjual tenaga mereka yang disimpan dalam bateri kepada grid TNB sebagai pendapatan sampingan.

Terkini, TNB telah membiayai projek pemasangan dan pembelian dua sistem pengecasan kenderaaan elektrik dalam kawasan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi kegunaan bas elektrik yang beroperasi dalam kampus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini