19 termasuk remaja perempuan 15 tahun ditahan berpesta dadah - Utusan Malaysia

19 termasuk remaja perempuan 15 tahun ditahan berpesta dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH – Seramai 19 individu termasuk tiga remaja perempuan berumur 15 tahun ditahan polis kerana disyaki sedang berpesta dadah dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah dan hotel di sini semalam.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 5 petang semalam, polis menahan seramai sembilan individu termasuk dua wanita berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam serbuan itu, polis merampas satu paket lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 6.58 gram, sebiji pil ekstasi (0.69g) dan botol kaca yang diubah suai disyaki alat bagi mengisap dadah dan pemetik api.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas semua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1)(a), Seksyen 12(3)(a) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, tambah beliau, dalam serbuan kedua di sebuah bilik hotel di Taman Chai Leng, Perai dekat sini kira-kira pukul 10 malam tadi, polis menahan 10 individu termasuk empat remaja bawah umur ketika sedang berpesta dadah.

Katanya, kesemua suspek termasuk empat perempuan berusia antara 15 hingga 31 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bilik di tingkat lapan hotel berkenaan.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut menemukan serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat kira-kira 0.4 gram di atas lantai.

“Tiga perempuan berusia 15 tahun yang ditahan itu tidak bersekolah manakala seorang lagi remaja perempuan merupakan pelajar tingkatan lima.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah manakala dua lagi negatif,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini