Usaha dakwah Maik patut dipuji bukan dipertikai - Utusan Malaysia

Usaha dakwah Maik patut dipuji bukan dipertikai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Usaha dakwah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) terhadap masyarakat Orang Asli sepatutnya dipuji dan bukannya dipertikai khususnya oleh orang Islam sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, beliau hairan program dakwah dalam kalangan Orang Asli dianggap sebagai paksaan untuk mengubah cara hidup masyarakat itu sedangkan usaha ‘pendakwah’ Kristian pula tidak pula dilabel sedemikian.

Beliau berkata, dalam konteks negara ini, Islam diiktiraf dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan dan sudah menjadi kewajipan untuk orang Islam berdakwah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak yang pertikai yang sebenarnya perlu belajar lagi agama dan undang-undang. Kita berdakwah supaya orang kenali Islam, terima Islam, dan terima Islam dengan sukarela kerana kita tidak boleh paksa orang masuk Islam.

“Tetapi apa berlaku bila orang Kristian pergi kawasan Orang Asli tak ada siapa bising, kenapa mereka tak bercakap bila orang Kristian pergi, pendakwah Kristian pergi, mereka tak cakap pula biarkan Orang Asli dengan cara hidup mereka, tetapi bila pegawai-pegawai Maik pergi berdakwah mereka kata biarkan Orang Asli dengan cara hidup mereka,” katanya selepas Majlis Mesra Aidilfitri anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) dan Maik di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kritikan terhadap Maik berikutan kenyataan Timbalan Yang Dipertuanya, Dr. Nik Mohd Azlan Abd Hadi baru-baru ini tentang sasaran mengislamkan kesemua Orang Asli di negeri ini dalam tempoh 30 tahun lagi.

Beberapa pihak termasuk peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim serta Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menganggap usaha itu sebagai paksaan dalam beragama dan tidak sejajar dengan semangat Malaysia Baharu. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini